Insiden culik, Abu Zarim kongsi pengalaman kejar MPV putih

Insiden culik, Abu Zarim kongsi pengalaman kejar MPV putih

Pemandu yang turut serta mengejar kenderaan pelbagai guna (MPV) itu berkata tindakannya dibuat demi memastikan dia terkilan sekiranya insiden penculikan benar-benar berlaku.

Polis mengeluarkan gambar ini yang diambil daripada orang awam memaparkan seorang ahli perniagaan ditarik masuk dalam MPV berwarna putih. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bunyi hon tanpa henti beberapa kenderaan yang mengejar suspek penculik menaiki Toyota Vellfire berwarna putih, menjadi pencetus ‘keberanian’ buat Abu Zarim untuk turut serta, dalam kejadian petang semalam.

Abu Zarim ketika dihubungi menerusi Facebook, berkata dia sempat bertanya kepada seorang daripada pemandu berhubung apa yang sebenarnya berlaku.

“Tanpa melihat kepada saya, dia kata ada orang diculik dalam kereta,” katanya kepada FMT.

Dia kemudian mengambil keputusan turut serta dalam aksi mengejar itu untuk menghentikan Vellfire terbabit. Beberapa penunggang motosikal juga ada mengejar dalam cubaan mereka menghentikan kenderaan pelbagai guna itu.

Dua ke tiga penunggang sanggup menggunakan motosikal masing-masing sebagai penghadang demi memastikan kenderaan itu tidak terlepas, berdekatan Plaza Tol Sungai Besi, katanya.

“Ada beberapa motor cuba halang dan dirempuh Vellfire sebelum tol Sungai Besi. Penunggang dari mata saya, nampak semua selamat.. sebab sempat mengelak,” katanya.

Vellfire terbabit kemudian terus memecut laju dengan beberapa motosikal berhenti daripada terus mengejar melepasi plaza tol itu. Abu Zarim berkata, dia berhenti di bahu jalan lalu menghubungi 999 untuk polis mengambil tindakan.

“Sepanjang malam saya fikir, kalau betul itu kes culik…rasa terkilan sebab tak dapat bantu sebaiknya,” kata Abu Zarim.

Awal hari ini, polis mengesahkan ahli perniagaan berusia 38 tahun diculik ketika makan berseorangan di sebuah restoran, di Ampang. Sekumpulan lelaki menarik mangsa masuk ke Toyota Vellfire berwarna putih dengan beberapa orang awam kemudian bertindak mengejar.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, bagaimanapun berkata suspek melepaskan mangsa di Klang dengan mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian, kira-kira 10.45 malam, semalam.

Ditanya apa perasaan selepas mengetahui mangsa selamat, Abu Zarim berkata, dia sangat lega.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.