174 mangsa masih ditahan sindiket penipuan kerja di luar negara, kata polis

174 mangsa masih ditahan sindiket penipuan kerja di luar negara, kata polis

Polis terima laporan daripada ahli keluarga dan kenalan mangsa itu membabitkan 284 pekerja yang diperdaya sindiket terbabit dengan 174 daripadanya masih terkandas di luar negara.

Seramai 110 orang mangsa pula berjaya diselamatkan dan dibawa pulang semula ke negara ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 174 mangsa sindiket penipuan pekerjaan masih terkandas dan ditahan sindiket di luar negara, kata Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin.

Noorsiah berkata, polis menerima sebanyak 224 laporan berkaitan kes penipuan pekerjaan di luar negara sejak 2021 hingga hari ini.

Katanya, laporan itu diterima daripada ahli keluarga dan kenalan mangsa membabitkan 284 pekerja yang diperdaya sindiket terbabit dengan 174 daripadanya masih terkandas di luar negara hingga kini.

“Seramai 110 orang mangsa pula berjaya diselamatkan dan dibawa pulang semula ke negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak polis akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Aseanapol dan Interpol untuk menangani penipuan tawaran kerja kepada warganegara ini di luar negara.

Katanya, pihak polis turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh
kementerian luar negeri.

“Masyarakat dinasihati supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika menerima tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial oleh mana-mana pihak.

“Pastikan semakan mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dibuat
dengan kementerian luar negeri, sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara.

“Pihak polis juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.