
Azam berkata memandangkan kerumitan kes itu, yang disifatkannya sebagai “rompakan siang hari”, SPRM perlu memberikan perhatian dan meneliti setiap satu kertas siasatan.
Maklum balas Azam itu muncul tiga hari selepas Timbalan Ketua Pemuda PKR Kamil Munim meminta agensi antirasuah itu mendedahkan status siasatan itu.
Azam berkata sehingga kini, 51 orang telah ditahan termasuk 13 wanita.
Sebelum ini dilaporkan bahawa suspek terdiri daripada pemilik perniagaan, pengarah, pengurus, pemegang saham, jurutera dan eksekutif.
Dalam pada itu Azam berkata, mengenai siasatan terhadap kartel yang mengaut keuntungan dengan mendapatkan projek bernilai berjuta-juta daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pihaknya telah menahan sembilan orang, termasuk pegawai kanan MBSA.
Pada 19 Sept lepas, beberapa kakitangan MBSA ditahan termasuk seorang kontraktor yang dipercayai terbabit dalam projek Pelan Induk Saliran Bandar Mampan Shah Alam bernilai jutaan ringgit.
Berhubung kes membabitkan Unit Transformasi India Malaysia (Mitra), Azam mendedahkan enam orang lagi dijangka didakwa kerana menipu kerajaan dengan membuat tuntutan palsu antara RM900,000 dan RM5 juta.