
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania memberitahu FMT, kemungkinan PH akan melihat PSM terlalu lemah di mata pengundi untuk memberi nilai tambah kepada pakatan tersebut.
Azmi berkata, sudah wujud kebimbangan dalam PH untuk menerima Muda sebagai sekutu, walaupun parti pemuda itu boleh “dilihat sebagai nilai tambah”.
Katanya, PSM mungkin mahu bertanding di kerusi yang sama pada 2018.
Difahamkan, PSM berhasrat bertanding “empat atau lima” kerusi Parlimen atas tiket PH.
“Saya tidak rasa PH akan memberi kerusi sebanyak itu. Seperti yang dilihat pada 2018, PSM tidak dapat menarik undi,” katanya.
Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata ahli parti sedar PSM tidak boleh memenangi kerusi sendiri dan mendesak pakatan pilihan raya diadakan dengan PH.
PH telah membentuk jawatankuasa untuk mengadakan rundingan dengan PSM.
Pada 2018, PSM gagal mencapai persetujuan dengan PH untuk PRU14, menyebabkan parti pembangkang bertembung dalam beberapa kerusi. Jeyakumar, yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal, hilang kerusinya kepada S Kesavan dari PH.
Chin berkata, PH sudah berada di bawah “tekanan hebat” dalam usaha membahagikan 222 kerusi Parlimen di kalangan empat parti gabungan itu. “Jadi, membawa masuk ahli tambahan adalah masalah.”
Katanya, PH masih terkial-kial selepas kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dan cuba menangani permintaan Muda untuk menyertai gabungan itu.
“Walaupun ia akan melepaskan kerusi, saya mengesyaki ia akan memberikan hanya satu kerusi kepada PSM dan ia adalah Jeyakumar,” katanya.
Bercakap kepada FMT, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mengulangi jawatankuasa PH akan berbincang dengan PSM lagi, manakala Timbalan Ketua DAP Pulau Pinang, P Ramasamy pula berkata PH perlu memasukkan PSM dalam barisan pilihan rayanya kerana tiada perbezaan asas antara parti itu.