
Leong, yang juga ahli JKPK, sebaliknya menyarankan agar pengerusinya, Ahli Parlimen Kuala Krai Latiff Abdul Rahman memastikan ia berfungsi dengan memanggil mesyuarat serta memastikan siasatan berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dapat diteruskan.
“Saya fikir pembubaran JKPK adalah terlalu drastik. Saya harap pengerusi JKPK akan memanggil mesyuarat dan mengambil tindakan yang tegas berhubung semua perkara ini,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan seorang lagi ahli JKPK, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong agar jawatankuasa itu dibubarkan kerana gagal meneliti dan menyiasat pegawai kerajaan dalam beberapa isu berkepentingan awam.
“Saya amat kecewa kerana (JKPK) tidak mempunyai keinginan politik dan kepimpinan yang baik untuk berfungsi dengan berkesan,” kata Khoo.
Khoo juga kecewa cadangannya untuk memanggil SPRM memberi taklimat kepada jawatankuasa mengenai isu kapal tempur pesisir (LCS) tidak diterima oleh Latiff.
Mengulas lanjut, Leong berkata, seperti Khoo, beliau juga berasa kecewa dengan kegagalan jawatankuasa itu mengambil tindakan sewajarnya dalam perkara-perkara berkenaan.
Selain Latiff, William dan Khoo, JKPK itu turut dianggotai Ahli Parlimen lain seperti Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Azis Jamman (Sepanggar), Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu), Anyi Ngau (Baram), dan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu).