Seleweng dana SRC International: 21 Okt pengurusan kes semakan sabitan Najib

Seleweng dana SRC International: 21 Okt pengurusan kes semakan sabitan Najib

Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu kepada hakim Mahkamah Tinggi hari ini semasa pengurusan kes SRC lain yang dihadapi bekas PM itu.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib Razak kerana menyeleweng dana SRC International.
KUALA LUMPUR:
Permohonan semakan oleh Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC), ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 21 Okt.

Peguam bekas perdana menteri itu, Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes SRC yang lain, berhubung tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC dihadapi Najib, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Pada awalnya, Zaini bertanya kepada Shafee sama ada beliau akan mengendalikan permohonan semakan Najib memandangkan firma guaman Tetuan Shafee & Co sebelum ini diberhentikan daripada mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya berhubung kes RM42 juta dana SRC.

“Ya, saya. Saya kembali semula selepas beberapa kesulitan, tetapi saya datang kembali,” katanya.

Zaini menjawab, “Tidak sepatutnya anda pergi”, mengundang tawa di kamar mahkamah.

Pada 26 Julai lepas, Najib memberhentikan Tetuan Shafee & Co dengan serta-merta daripada mewakili beliau dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC dan melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sebagai peguam cara baharu.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Najib menerusi Tetuan Shafee & Co pada 6 Sept memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Najib, 69, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.