RUU jenayah intip, hendap dibentang untuk bacaan ke-2 pada Oktober

RUU jenayah intip, hendap dibentang untuk bacaan ke-2 pada Oktober

Mas Ermieyati Samsudin berkata, RUU itu akan menjadi antara yang terawal dibentangkan apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 3 Okt.

Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan bahawa sesi sidang Dewan Rakyat seterusnya akan berlangsung selama 32 hari, mulai 3 Okt. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang undang-undang (RUU) mengenai jenayah intip dan hendap (stalking) akan dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat bulan depan, kata Mas Ermieyati Samsudin.

Dalam kenyataan, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) itu berkata, RUU itu akan menjadi antara yang terawal dibentangkan apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 3 Okt.

Mas Ermieyati memaklumkan bahawa sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari, sehingga 29 Nov, manakala Dewan Negara akan bersidang selama 11 hari, bermula 21 Nov hingga 7 Dis.

“Perubahan takwim kali ini bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepat,” katanya.

Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Okt.

RUU mengenai jenayah intip dan hendap itu dibentangkan buat kali pertama pada Ogos, membabitkan pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah.

RUU itu dirangka bagi melindungi mangsa, khususnya wanita, daripada gangguan di persekitaran fizikal mahupun dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.