Perintah tangguh nyahwarta tanah Bukit Cherakah dilanjutkan

Perintah tangguh nyahwarta tanah Bukit Cherakah dilanjutkan

Sebarang aktiviti pembinaan, pembangunan atau pembalakan di bidang tanah terbabit tidak dibenarkan hingga 19 Okt.

Dua NGO memohon kebenaran untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan menyahwarta sebidang tanah di hutan simpan Bukit Cherakah.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan dua NGO untuk melanjutkan perintah penangguhan sementara terhadap projek nyahwarta sebidang tanah di hutan simpan Bukit Cherakah oleh kerajaan Selangor.

Perintah yang pada asalnya diluluskan pada 11 Ogos lalu dan dijadualkan berakhir hari ini itu dilanjutkan hingga 19 Okt.

“Ini bermakna status quo dikekalkan dan dengan perintah mahkamah, tiada kerja-kerja seperti pembinaan, pembangunan atau pembalakan boleh dijalankan,” kata Rajesh Nagarajan, antara peguam yang mewakili dua NGO itu.

Perintah penangguhan itu dikeluarkan oleh Hakim Shahnaz Sulaiman kepada kerajaan negeri, barisan Exco dan pengarah perhutanan negeri serta Jabatan Tanah dan Galian untuk menghentikan semua bentuk penguatkuasaan dan tindakan sehubungan keputusan Exco pada 5 Mei untuk menyahwartakan bidang tanah itu, sementara menunggu proses saman.

Shahnaz melanjutkan perintah penangguhan itu ketika permohonan kebenaran membuat semakan kehakiman terhadap keputusan nyahwarta tersebut didengar hari ini.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Restu Mantap Sdn Bhd hari ini memohon untuk mencelah dalam kes saman itu.

Rajesh berkata, anak guamnya, Lim Teck Wyn daripada Persatuan Komuniti Hutan Shah Alam (SACF) dan Damien Thaman Divean daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) tidak membantah.

Bulan lepas, dua NGO itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha melindungi hutan simpan itu daripada dinyahwarta dan dibersihkan untuk pembangunan.

Kumpulan NGO itu memohon semakan kehakiman untuk mencabar kesahihan penyahwartaan tanah seluas 406ha tersebut.

Menurut, Damien dalam afidavit sebelum ini, tanah itu sudah dipecahkan dan pembangunan dijalankan di sebahagian tanah itu yang dimiliki beberapa entiti milik kerajaan serta swasta.

Rajesh berkata, prosiding itu ditangguhkan kepada 19 Okt ini dengan mahkamah mengarahkan PKNS dan Restu Mantap memfailkan afidavit balas menjelang 12 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.