
Dalam kemalangan itu, S Kumaravelan, 48, maut di lokasi kejadian kerana tersepit di tempat pemandu selepas ditimpa papan tanda terbabit.
Pegawai Operasi Bomba Pulau Pinang, Khairul Anuar Abd Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.20 petang, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Paya Terubong terus ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami mendapati pemandu berkenaan dalam keadaan tersepit selepas dihempap papan tanda jalan yang terdapat di laluan itu dan difahamkan mangsa dipercayai telah melanggar palang papan tanda sebelum ia terjatuh.
“Pihak bomba menjalankan operasi menyelamat untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas rescue tool sebelum lelaki yang tersepit itu dikeluarkan pada 3.46 petang. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.