
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman, meminta penjelasan lanjut mengenai dasar baharu itu supaya sebarang masalah dapat diminimumkan apabila dilaksanakan.
“MEF berpandangan bahawa dasar baharu sedemikian mungkin menimbulkan isu pelaksanaan memandangkan tempoh enam jam yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen mungkin terlalu singkat. Meskipun terdapat kemungkinan tempoh itu dilanjutkan, ia tidak menyatakan berapa lama lanjutan boleh diberikan.
“Berpandukan dasar baharu itu, pekerja asing tidak akan dilepaskan sehingga majikan mereka tiba di KLIA. Bagaimanapun, dasar baharu itu tidak menyatakan siapa yang boleh mewakili majikan, bolehkah majikan diwakili oleh pengarah, pengurus, para pegawai sumber manusia atau ejen yang diberi kuasa untuk menerima pekerja terbabit bagi pihak majikan,” lapor Bernama.
Justeru, beliau berkata, dasar dicadang iaitu mengeluarkan notis Tidak Dibenarkan Mendarat (NTL) dan menghantar pulang pekerja asing yang sudah berada di KLIA melalui penerbangan berikutnya jika majikan gagal mematuhinya akan membebankan majikan dari segi kos.
“Ia akan menimbulkan banyak kesulitan dan cabaran lain terutama apabila majikan berdepan kekurangan tenaga kerja yang kritikal terutama pekerja asing,” katanya.
Hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan, memaklumkan majikan dikehendaki menunggu ketibaan pekerja asing baharu mereka di KLIA bagi memastikan bahawa mereka memiliki majikan sah.
Beliau berkata, majikan bertanggungjawab menguruskan dokumentasi pekerja serta mengesahkan bahawa mereka adalah majikan pekerja terbabit dan peraturan Jabatan Imigresen memberi tempoh enam jam untuk mereka mengambil pekerja asing mereka di KLIA, namun dalam keadaan tertentu, tempoh itu boleh dilanjutkan.