
CAAM berkata, garis panduan maklumat keselamatan (SI) baharu yang dikeluarkan kepada syarikat penerbangan dan majikan juruterbang untuk mengurangkan risiko ketidakupayaan kesihatan itu dirangka selepas pihaknya menerima beberapa laporan mandatori kejadian (MOR) baru-baru ini.
Bagaimanapun, CAAM tidak menyebut mengenai kejadian membabitkan juruterbang MAS itu.
MOR disediakan oleh kakitangan operasi yang dikehendaki mendedahkan kemalangan dan jenis insiden tertentu untuk membantu mengumpul dan bertukar maklumat mengenai potensi ancaman keselamatan serta menyumbang kepada pencegahan kemalangan kapal terbang.
Pada 9 Mei, dilaporkan bahawa seorang juruterbang MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri pengsan di tandas kira-kira 50 batu nautika sebelum mendarat, menyebabkan pembantu juruterbang mengisytiharkan keadaan kecemasan.
Seorang doktor yang dalam penerbangan itu kemudian menggunakan kit perubatan di dalam pesawat untuk membantu juruterbang berkenaan.
Pesawat itu dilaporkan mengekalkan profil penerbangan normal sehingga ia tiba di Miri sebelum panggilan “Mayday” dibuat kepada menara kawalan trafik udara.
“Penilaian kesihatan selepas kejadian terhadap juruterbang berkenaan dilakukan dua hari selepas insiden itu. Cuti sakit juruterbang berkenaan dilanjutkan hingga 15 Mei. Beliau disahkan cergas untuk bekerja selepas tamat cuti sakit,” menurut laporan itu.
Berikutan kejadian itu, satu memo perubatan penerbangan dikeluarkan kepada semua anak kapal MAS bagi mengingatkan mereka mengenai pengambilan makanan dan minuman yang selamat.
Dalam SI yang dikeluarkan pada 21 Sept, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata, pihaknya baru-baru ini menerima laporan-laporan mandatori kejadian berhubung ketidakupayaan kesihatan.
“Maklumat kesihatan ini menekankan kepentingan kecergasan dari segi kesihatan untuk mengendalikan penerbangan dan kawalan trafik udara.
“Ia juga memberi saranan tindakan untuk pengurusan kemerosotan kesihatan (DMF),” katanya.
Katanya, kajian menunjukkan antara punca biasa ketidakupayaan termasuk sindrom gastrousus, reaksi usus yang tidak terkawal, telinga sakit atau tersumbat, pening dan lemah, sakit kepala termasuk migrain, vertigo dan kecelaruan.
Menurutnya, pemegang lesen penerbangan perlu melaporkan sama ada keadaan DMF atau rawatan dijalani mereka berpotensi mengganggu keselamatan penerbangan dalam pelbagai cara.
Antaranya termasuk:
- menyebabkan perubahan kelakuan;
- membawa kepada peningkatan risiko ketidakupayaan;
- menyebabkan pengurangan atau gangguan kemampuan fungsi badan; dan
- membawa kepada pengurangan kemampuan membuat keputusan, tumpuan atau daya penumpuan (keadaan psikologi atau psikiatri tidak normal).