Abang Jo bimbang gaji penjawat awam tak memadai, undang risiko rasuah

Abang Jo bimbang gaji penjawat awam tak memadai, undang risiko rasuah

Premier Sarawak berpandangan kes rasuah di Singapura rendah susulan gaji diterima penduduknya tinggi

Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata keinginan melakukan rasuah itu wujud apabila gaji diterima tidak mencukupi, lebih-lebih lagi didesak dengan tugasan yang banyak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak sedang mengkaji beberapa mekanisme demi memastikan gaji penjawat awam di negeri itu lebih stabil, selain berperanan mengurangkan risiko rasuah berlaku, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Sambil merujuk situasi di Singapura, beliau berkata, gejala rasuah di republik berkenaan rendah susulan gaji diterima tinggi.

“Kes rasuah di Singapura rendah kerana gaji mereka tinggi, keinginan untuk melakukan rasuah itu wujud apabila gaji yang diterima tidak mencukupi, lebih-lebih lagi didesak dengan tugasan yang banyak, oleh itu kerajaan negeri akan mencari cara untuk mendapatkan sumber kewangan ini.

“Kita akan usahakan agar penjawat awam tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada simpanan pencen, dan kita akan berbincang dengan penjawat awam untuk kita bentuk satu kerjasama untuk sama-sama bergerak sebagai sebuah jentera untuk menggerakkan aspirasi ini,” lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi ‘townhall’ dihadiri lebih 700 penjawat awam seluruh negeri, di Kuching.

Abang Johari mengakui gaji kakitangan perkhidmatan awam di Sarawak masih tidak memadai, namun berjanji akan mencari penyelesaian menangani isu terbabit.

“Saya berpandangan gaji kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini masih tidak memadai, saya akan cari jalan untuk menyelesaikan perkara ini, kerana kita juga mesti mempunyai kebebasan dalam pengurusan kewangan kita.

“Dari segi jawatan juga bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kuala Lumpur, kadang-kadang jawatan yang sepatutnya diwujudkan di Sarawak diberikan kepada pusat atau tidak diluluskan, maka tidak ada perubahan di peringkat negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.