5 dipenjara seumur hidup kerana culik pengurup wang

5 dipenjara seumur hidup kerana culik pengurup wang

Mangsa diculik di Bayan Lepas pada 28 Sept 2016 dan tertuduh meminta wang tebusan RM3 juta daripada keluarga mangsa.

Lima tertuduh dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum didapati bersalah menculik seorang pengurup wang di Pulau Pinang pada 2016.
KUALA LUMPUR:
Lima lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang pengurup wang di Pulang Pinang pada 2016.

Hakim Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman penjara tersebut, serta 10 sebatan setiap seorang, ke atas T Shasitaran, 38; M Ashogan, 39; Muhamad Sultan Ahmad Kabil, 43; Ong Shan Chia, 37; dan Yoh Shyh Ming, 33.

Mereka telah ditahan di dalam penjara sejak ditangkap pada 3 Okt 2016.

Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Mereka terlepas hukuman mati kerana hakim berpendapat tiada keganasan keterlaluan dilakukan terhadap mangsa Hawazanajmi K Shahapudeen, 66.

“Mangsa hanya digari dan ibu jarinya tercedera. Atas pertimbangan itu, saya memerintahkan semua tertuduh dihukum penjara seumur hidup bermula dari tarikh tangkapan.

“Hukuman sebat adalah mandatori, oleh sebab itu saya (turut) memerintahkan agar mereka dihukum 10 sebatan setiap seorang,” katanya.

Menurut fakta kes, mangsa diculik di Bayan Lepas pada 28 Sept 2016. Mangsa diculik selama beberapa hari dan tertuduh meminta wang tebusan RM3 juta daripada keluarga mangsa.

Bagaimanapun, polis berjaya mengesan semua tertuduh dan menangkap mereka sebelum dibicarakan di Pulau Pinang.

Keputusan kes itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Akhtar pindah dari Pulang Pinang ke Kuala Lumpur.

Tertuduh diwakili peguam K Thangasvaran, Anthony Chew, R Dev Chander dan Ravi Chandran manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.