Tiada persatuan sukan tidak aktif terima dana, kata Peja

Tiada persatuan sukan tidak aktif terima dana, kata Peja

Menteri belia dan sukan berkata semakan telah dibuat dengan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi mendapatkan laporan dakwaan itu.

Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021.
KUALA LUMPUR:
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, berkata kementeriannya tidak mengesan berlaku pemberian dana kepada persatuan tidak aktif setakat ini.

Faizal berkata, ia selepas semakan dibuat dengan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) sama ada wujud unsur rasuah membabitkan pemberian dana kepada persatuan tidak aktif.

Katanya lagi, beliau dimaklumkan JBSN dan PJS di mana semua persatuan yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu melalui beberapa prosedur ketat termasuk menghantar laporan “maklumat yang kena beri” (MYKB).

Faizal berkata demikian susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan wujudnya rasuah dalam industri sukan negara terutama dalam aspek pengurusan dana.

SPRM sebelum ini berkata, pihaknya akan membantu PJS melakukan siasatan terperinci terhadap lebih 1,000 persatuan sukan yang ‘hilang’ di negara ini sama ada menggunakan dana dengan tujuan betul atau sebaliknya.

Faizal berkata, kenyataan SPRM itu mungkin merujuk kepada isu yang pernah berlaku sebelum ini sebelum beliau menerajui kementerian itu.

Katanya, sejak menjadi menteri belia dan sukan, mana-mana persatuan gagal memenuhi syarat memberi laporan MYKB selama tiga tahun berturut-turut tidak akan diberi sebarang dana.

“Saya telahpun mengarahkan JBNS bertanggungjawab menyelaraskan peruntukan kepada persatuan sukan bersama dengan PJS untuk memastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 anjuran Pejabat PJS dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada majlis itu, lima badan sukan negara dianugerahkan taraf lima bintang iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Persekutuan Wushu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM).

Selain itu, sebanyak 94 badan sukan lain turut layak menerima penarafan bintang dan daripada jumlah itu, 5% adalah badan sukan peringkat kebangsaan, negeri (10%), daerah (66%) dan kelab (19%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.