Tak pelik jika Bersatu musuhi Umno, mereka tiada kekuatan, kata Nazri

Tak pelik jika Bersatu musuhi Umno, mereka tiada kekuatan, kata Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas berkata Bersatu bukan sahaja gagal menandingi kekuatan Umno malah gagal mendapat sokongan Melayu pada PRU lalu.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, berkata Bersatu jugalah yang mencuri Ahli Parlimen Umno dan mengkhianati rakan dalam Pakatan Harapan (PH).
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Umno berkata, beliau tidak berasa pelik jika Bersatu memusuhi Umno selepas presidennya, Muhyiddin Yassin menganggap bekas partinya itu adalah musuh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz, menegaskan Bersatu bukan sahaja gagal menandingi kekuatan Umno malah gagal mendapat sokongan Melayu pada PRU lalu.

“Disebabkan Bersatu tidak mendapat sokongan orang Melayu, mereka ‘mencuri’ beberapa Ahli Parlimen Umno untuk menguatkan partinya.

“Selepas PRU14, Bersatu cuma ada 13 Ahli Parlimen, lebih dua sahaja berbanding Amanah, sebab itu mereka curi Ahli Parlimen Umno yang tidak ada pendirian,” katanya menurut Astro Awani.

Jelas Nazri lagi, setelah mencuri Ahli Parlimen Umno, Bersatu mengkhianati rakan mereka dalam PH dan mengajak Umno, PAS, GPS dan parti lain untuk bentuk kerajaan.

Nazri berkata demikian susulan kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang menyatakan pihaknya menyambut baik usaha penyatuan ummah yang diusahakan PAS, namun realitinya tidak boleh bekerjasama dengan Umno.

Justeru, Nazri menasihatkan Muhyiddin agar menjadi Melayu tidak lupa asal usul dan tahu mengenang budi.

“Muhyiddin sepatutnya berterima kasih kepada Umno kerana parti terbesar orang Melayu itu memberi peluang kepadanya sebelum ini menjawat jawatan penting dalam negara.

“Kerana bersama Umno, Muhyiddin dapat menjadi menteri besar Johor dan selepas itu timbalan perdana menteri.

“Benar beliau dibuang oleh Umno tetapi jangan berdendam hingga lupa jasa-jasa Umno kepada beliau sekeluarga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.