
Bagaimanapun, Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, berkata dia tidak pasti sama ada penyelesaian itu turut membabitkan Najib Razak.
Saksi pendakwaan ke-37 berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri itu membabitkan RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan negara berkenaan.
Wan Aizuddin: Adakah anda tahu penyelesaian antara AmBank dan kerajaan berhubung keseluruhan episod itu?
Uma: Saya dengar berkenaan penyelesaian dengan bank tapi tidak mengetahui secara terperinci.
Wan Aizuddin: Adakah penyelesaian itu semata-mata berhubung 1MDB, tiada kaitan dengan akaun Datuk Seri Najib?
Uma: Itu, saya tidak pasti.
Dilaporkan, pada 26 Feb tahun lalu, AMMB Holdings Bhd bersetuju membayar kerajan RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan tertunggak dan tindakan berkait pembabitannya dalam 1MDB.
Kementerian Kewangan berkata, penyelesaian berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan mendapatkan semula dana dan aset secara langsung atau tidak langsung yang dikaitkan dengan dana pelaburan terbabit daripada pelbagai pihak.
AMMB Holdings membayar penyelesaian itu dengan tambahan penalti RM53.7 juta dikenakan Bank Negara (BNM).
Uma memberitahu mahkamah pada 6 Julai 2015, BNM menyerbu cawangan AmBanknya dan merampas beberapa dokumen berkaitan akaun Najib.
Katanya, mereka mengambil fail fizikal berkaitan SRC, namun tidak dapat mengingati sama ada rampasan itu berkaitan 1MDB.
Serbuan berlaku empat hari selepas beliau bertugas sebagai pengurus cawangan. Katanya, sehingga hari ini dokumen yang dirampas belum dipulangkan.
Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapat rasuah berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai sama.
Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.