Banjir: Hishammuddin beri ingatan jangan ulang kesilapan di Sri Muda

Banjir: Hishammuddin beri ingatan jangan ulang kesilapan di Sri Muda

Taman Sri Muda di Shah Alam antara lokasi paling teruk terjejas dilanda banjir pada Disember tahun lalu dengan mencatat lebih 10 kematian.

Taman Sri Muda, Shah Alam, antara lokasi paling teruk terjejas dilanda banjir pada Disember tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein, meminta semua pihak memperbetulkan kesilapan lalu dalam membantu mangsa banjir dengan merujuk kepada bencana di Taman Sri Muda, Shah Alam, sebagai pengajaran bersama.

Taman Sri Muda antara lokasi paling teruk terjejas dilanda banjir pada Disember tahun lalu dengan mencatat lebih 10 kematian, agensi kerajaan pusat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dikritik hebat kerana lewat membantu mangsa.

Kelewatan itu antaranya berpunca masalah komunikasi antara agensi berkaitan dan kesukaran memasuki lokasi bencana.

Hishammuddin berkata, segala maklumat perlu disampaikan terus kepada pihak bertanggungjawab termasuk melaporkan terus kepadanya, bukan hanya menguarkan-uarkan di media sosial, dengan pelbagai dakwaan tidak tepat.

“Gunakan saluran sedia ada daripada hanya nak uar-uarkan, ini melibatkan nyawa, melibatkan harta benda. Kalau hanya menguar-uarkan di media sosial ia tidak akan membantu kita.

“Jadi kita betulkan apa yang tak kena dulu, dan saya harap ia merupakan satu pengajaran tanpa menidakkan apa yang telah kita lakukan dengan baik sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sempena inisiatif kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hadir sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Yang penting semua pihak bekerjasama rapat dengan kita berikan maklumat, kalau tak sampai tiada hubungan terus dengan saya, dengan KJ (Khairy)..tiada dengan KJ, dengan KSU (ketua setiausaha) saya,” katanya.

Beliau ditanya mengenai persiapan tentera dalam berdepan musim tengkujuh dan bagaimana mengelakkan berlaku kesilapan kelewatan arahan daripada pihak atasan seperti dakwaan sebelum ini yang berlaku di Taman Sri Muda.

FMT sebelum ini memetik sumber melaporkan pasukan tentera membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan Nadma, dengan mula bergerak ke kawasan terjejas selepas solat Jumaat, pada hari pertama banjir besar berlaku.

Pada petang Ahad, Hishammuddin memaklumkan menerusi Twitter bahawa beliau telah memberi taklimat kepada Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Mohd Zakaria Yadi, berhubung situasi di Klang.

Kata sumber itu lagi, Kementerian Pertahanan berasa “muak” dengan Nadma dan kerajaan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.