
Sambil menggambarkan kenyataan itu “tidak masuk akal”, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, memberitahu FMT bahawa rakyat Malaysia mengundi PH berbanding Barisan Nasional (BN) kerana merasakan gabungan itu mampu menawarkan lebih baik kepada negara.
“Untuk melindungi kelemahan, mereka akan menuding jari kepada DAP. Hentikan mencari ‘kambing hitam’ dan lihat pada kelemahan sendiri, atau anda akan hilang kerja,” katanya kepada Saravanan.
Santiago berkata, Kementerian Sumber Manusia diterajui Saravanan dan Kementerian Dalam Negeri mengakibatkan ramai rakyat Malaysia kehilangan perniagaan mereka susulan “pengurusan teruk” berhubung kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
Santiago mencadangkan, sekiranya PH menang pada PRU15, ia didorong dasar-dasarnya, selain mengetahui apa yang baik untuk Malaysia.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata Saravanan tidak sepatutnya menuding jari, sedangkan beliau sendiri merupakan “yes man” kepada pihak lain.
“Tidak perlu menyalahkan pihak lain. Tiada ‘abang besar’ dalam PH dan kami tidak tunduk kepada pihak lain,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Saravanan mendakwa DAP akan kembali mentadbir negara jika PH menang PRU15 memandangkan parti itu mempunyai kerusi terbanyak.
Ahli Parlimen Tapah berkata, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi perdana menteri tanpa sokongan DAP.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa Saravanan mengambil tindakan “memburukkan” DAP kerana bimbang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tapah.
Walaupun ada kemungkinan DAP menang lebih banyak kerusi berbanding parti gabungan PH lain, beliau menekankan ia tidak bermakna kerajaan akan dikawal parti itu.
“Tiada keperluan untuk memburukkan DAP kerana kami mempunyai lebih sokongan masyarakat India berbanding MIC. Lebih tepat, MIC hanya mempunyai sokongan orang Melayu yang setia pada Umno”.
Ramasamy berkata, sudah tiba masanya MIC membuat keputusan sama ada mahu terus menjadi parti atau bergabung dalam Umno sebagai sayap untuk kaum India.
“Ia akan sama seperti perwakilan bukan Melayu atau bukan Islam dalam PAS dan Amanah,” katanya.