Rafizi didakwa hipokrit, kempen ketika banjir, kata Puad

Rafizi didakwa hipokrit, kempen ketika banjir, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata timbalan presiden PKR itu hipokrit pergi berkempen ketika banjir, namun menyerang Umno atas perkara sama.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, melancarkan kempen ‘Ayuh Malaysia’, manakala PKR sudah memulakan siri jelajah mega bermula bulan ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Puad Zarkashi menggelar Rafizi Ramli sebagai “hipokrit” kerana berkempen menggunakan trak ‘Ayuh Malaysia’ walaupun berdepan risiko banjir.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, berkata Rafizi sebelum ini menuduh Umno sebagai sanggup meredah banjir demi mendapatkan kuasa.

“Itu kempen apa? Kempen politik. Kempen untuk apa? Sudah tentu untuk menang PRU (pilihan raya umum) dan dapat kuasa. Hipokritnya Rafizi.

“Ketika banjir melanda Batu Pahat, ada traknya datang membawa bantuan untuk mangsa banjir. Traknya datang bawa fitnah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Awal bulan ini, lebih 600 mangsa di Batu Pahat, Johor, dipindahkan susulan hujan lebat dan air pasang sehingga menyebabkan kawasan rendah dinaiki air.

Komen Puad susulan hantaran timbalan presiden PKR di Facebook, baru-baru ini; “Hujan tak berhenti sejak pagi tadi. Kalau berterusan sejam dua lagi, akan ada tempat yang kena banjir kilat”.

Katanya, ahli Umno sanggup meredah banjir demi membantu mangsa, manakala Rafizi meredah banjir kerana traknya kalis air.

“Bukan bawa bantuan tetapi sarat dengan cerita bohong,” dakwanya.

Dalam hantaran Rafizi, katanya, selain berkempen untuk memberi pencerahan kepada rakyat, masa yang suntuk juga perlu digunakan untuk menyiapkan persediaan PKR menghadapi bencana banjir.

“Saya sedang uruskan dengan Sdr (saudara) Fahmi Zainol, Pengarah Sukarelawan PKR untuk melatih akar umbi PKR menghadapi banjir. Sementara sebahagian besar rakyat Malaysia bimbangkan banjir, hanya Umno dan presidennya yang tidak bimbang,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembangkang menentang pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketika perubahan monsun kerana takut kalah.

Zahid berkata, Pakatan Harapan (PH) mahu pilihan raya diadakan tahun depan kerana mahu “membeli masa”, sambil mengakui gabungan pembangkang sudah melakukan jelajah mereka ke seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.