
Mangsa dikenali sebagai Osman mendakwa, lelaki berketurunan India itu dibunuh dan beberapa wanita Melayu dipaksa menjadi pelacur selain dipaksa menghisap syabu selepas gagal mencapai sasaran menipu secara dalam talian.
“Nak balik pun tak boleh. Mereka merayu saya untuk meminta bantuan rakyat Malaysia dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menyelamatkan mereka dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Laos di Kuala Lumpur hari ini.
Osman antara beberapa individu yang diselamatkan dan dibawa balik ke Malaysia selepas menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja.
Dia bersama beberapa NGO termasuk Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) dan keluarga mangsa menyerahkan memorandum menggesa campur tangan kerajaan negara itu untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.
Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim mendesak kerajaan Laos mengeluarkan kenyataan dan berusaha menjalin kerjasama dengan kedutaan Malaysia di Laos untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih terperangkap, terutamanya di kawasan ‘Golden Triangle’.
“Terdapat ramai lagi mangsa yang berada di Laos dikurung, diseksa, dilukakan, dicederakan. Mereka dipaksa untuk terlibat dalam jenayah untuk menipu orang lain.
“Sekiranya mereka tidak ingin bekerjasama dengan sindiket, mereka akan dipukul dan diugut untuk dijual organ-organ dan sebagainya.
“Kita juga mendapat maklumat yang tidak rasmi bahawa sudah ada kematian berlaku di negara tersebut yang melibatkan mangsa dari Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Penasihat MHO, Musa Hassan, meminta mangsa atau keluarga mangsa yang berjaya diselamatkan supaya tampil memberi maklumat kepada pihak berkuasa agar operasi menyelamat yang lebih menyeluruh dapat dilakukan.
“Kita akan memberi perlindungan kepada mangsa mahupun keluarga mangsa yang sudi memberi maklumat kepada pihak polis,” katanya.
Antara NGO lain yang hadir dalam penyerahan memorandum itu ialah Pengerusi Pengguna Semboyan 1 Malaysia ( Semboyan Malaysia), Yusuf Azmi dan juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al Ehsan, Muhammad Ridzwan Sulaiman dan 10 wakil keluarga mangsa.