

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, Christina Tee berkata, GST sekiranya dikembalikan perlu diimbangi menerusi potongan cukai individu dan korporat serta pakej lain untuk memanfaatkan perniagaan.
Katanya, pengenalan semula GST perlu disertakan beberapa pengecualian, seperti kadar sifar atau beberapa barangan dikecualikan cukai bagi memastikan jangkauannya lebih meluas.
“Bayaran balik juga perlu dipercepatkan, dengan bayaran balik bersyarat selepas audit dimuktamadkan,” katanya kepada FMT.
Tee juga menggesa satu lagi pusingan amnesti cukai melalui pendedahan cukai secara sukarela. Selain itu, kerajaan perlu menggandakan potongan cukai untuk syarikat yang melaksanakan langkah anti-rasuah dan menyokong alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Syarikat yang memenuhi keperluan undang-undang pekerjaan baharu seperti waktu kerja fleksibel perlu diberikan inisiatif untuk melabur dalam aturan bekerja dari rumah.
Tee juga membangkitkan penalti “membebankan” oleh Suruhanjaya Syarikat (SSM) dan mahu ia dikurangkan, terutamanya kesalahan berkaitan penutupan syarikat serta kegagalan mengemukakan laporan audit akaun dan pulangan tahunan mengikut masa ditetapkan.

Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (Amcham) pula berkata, kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur tenaga boleh diperbaharui untuk memastikan bekalan tenaga berpatutan dan boleh diharapkan.
Ia menggesa inisiatif dalam belanjawan tahunan untuk syarikat yang merancang menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan usaha mengurangkan perubahan iklim lain.
Kumpulan itu turut menggesa “dasar progresif yang menyokong pemulihan ekonomi teguh dan berdaya tahan” dengan ketelusan serta akauntabiliti sebagai asas bagi pelaksanaan projek tepat pada masanya.
Bekas presiden Dewan Perniagaan Cina Kedah, Tang Eng Kiang berkata, Belanjawan 2023 perlu menangani kemerosotan ringgit dan kenaikan kadar faedah, kekurangan buruh serta mengurangkan kos untuk pengambilan tenaga kerja asing.

Katanya, komuniti perniagaan Cina mahu kestabilan dan risiko dikurangkan kerana ia paling penting, selain berharap kerajaan dapat menstabilkan ekonomi melalui Belanjawan 2023.
Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, Malik Abdullah berkata, subsidi gaji perlu dinaikkan untuk pekerja berpendapatan sehingga RM4,000 berbanding RM2,000 ketika ini supaya dapat membantu lebih ramai pekerja dan inisiatif itu perlu dikekalkan sehingga ekonomi bertambah baik.
Katanya, bank juga perlu menurunkan faedah ke atas baki kad kredit daripada 18% kepada 9% atau 12% setahun.
Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini.