Barang kemas, jam, beg tangan RM80 juta disita hasil penyelewengan dana 1MDB, kata pendakwa

Barang kemas, jam, beg tangan RM80 juta disita hasil penyelewengan dana 1MDB, kata pendakwa

Ia merangkumi 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion pada Mei 2018.

Barangan disita polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada Mei 2018 dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion adalah hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong berkata hal ini diperkukuh oleh fakta berlaku urus niaga langsung antara Najib Razak dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jo atau Jho Low serta sekutu rapatnya Eric Tan Kim Loong melalui syarikat Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners.

“Sumber utama wang dalam akaun Ambank Najib yang berakhir dengan angka 694 adalah daripada wang yang dipindahkan daripada Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners iaitu syarikat yang dikawal oleh Jho Low dan Eric Tan,” katanya menurut Bernama.

Dalam hujah bertulis bagi permohonan kerajaan untuk merampas barang disita itu, beliau berkata Good Star, Jho Low, dua putera Arab Saudi (Putera Faisal dan Putera Saud), Blackstone Asia Real Estate Partners serta Najib tiada sebarang kaitan atau urusan perniagaan dengan 1MDB bagi mewajarkan mereka menerima wang itu daripada 1MDB.

“Tiada alasan perniagaan atau komersial untuk pergerakan wang sedemikian. Oleh itu, wang yang diperoleh Good Star dalam akaunnya bernombor 1116073 di Bank RBS Coutts telah diperoleh melalui perlakuan jenayah iaitu kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Pergerakan wang berikutnya daripada Good Star ke akaun Bank Riyad milik Putera Faisal serta Putera Saud dan akhirnya akaun Ambank Najib yang berakhir dengan angka 694 memenuhi unsur-unsur pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta kesalahan menerima harta curi di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harris juga berkata, pembukaan akaun Ambank Najib (9694) adalah semata-mata untuk menerima wang 1MDB daripada Good Star dan Aabar disusuli Tanore yang kemudian membawa kepada pembukaan akaun Ambank (1880) serta AmIslamic iaitu (1906) dan (1898).

Barangan yang disita oleh polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada Mei 2018 telah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB. Pada 2019, pendakwaan telah memfailkan permohonan pelucuthakan bagi menyita barangan terbabit.

Najib dan isterinya Rosmah Mansor adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas serta jam tangan dalam permohonan pelucuthakan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki ahli perniagaan Bustari Yusof.

Peguam Najib, Tania Scivetti ketika memohon mahkamah menolak permohonan itu berhujah bahawa tujuh jam tangan jenama Richard Mille adalah hadiah kepada Najib, dan tiada perkaitan antara jam tangan yang disita itu dengan dana 1MDB. Katanya, afidavit pegawai penyiasat 1MDB Foo Wei Min, mengesahkan bahawa beberapa utas jam tangan itu adalah hadiah namun tiada bukti konklusif.

Peguam utama Najib iaitu Muhammad Shafee Abdullah pula berkata satu daripada jam tangan itu dibeli oleh Global Oriented Bhd di bawah seorang individu bernama “Datuk Francis” sebagaimana dibuktikan daripada cek yang dikeluarkan oleh Taman Equine (M) Sdn Bhd manakala seutas lagi dibeli serta dibayar oleh Desmond Lim dengan kad kredit.

“Seutas lagi jam tangan dibeli oleh ‘Datuk Francis YTL’ dan kaedah pembayaran adalah menggunakan cek yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat pembinaan iaitu Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan 14 Nov untuk keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.