Kes saman berkait jalan berlubang patut sedarkan majlis tempatan, kata aktivis veteran

Kes saman berkait jalan berlubang patut sedarkan majlis tempatan, kata aktivis veteran

Keputusan mahkamah itu harus menjadi peringatan kepada semua PBT bahawa mereka bertanggungjawab ke atas keselamatan komuniti mereka, kata Lee Lam Thye.

Baru-baru ini, Mahkamah Majistret Kajang memerintahkan MPKj untuk menyelesaikan tuntutan seorang pemandu sebanyak RM2,980 atas kerosakan dialami keretanya selepas melanggar lubang pada jalan.
PETALING JAYA:
Pemberian pampasan baru-baru ini kepada pemandu yang terlanggar lubang pada jalan sepatutnya menyedarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang ramai, kata aktivis sosial veteran Lee Lam Thye.

Keputusan mahkamah itu harus menjadi peringatan kepada semua pihak berkuasa tempatan bahawa mereka bertanggungjawab ke atas keselamatan komuniti mereka dan juga membuka mata orang ramai tentang hak mereka.

“Kita langsung tiada budaya penyelenggaraan. Apabila terdapat jalan berlubang, PBT bertanggungjawab memastikan jalan itu dibaiki. Mereka tidak boleh mengelak tanggungjawab,” katanya.

Lee Lam Thye.

“Ini juga patut menyedarkan orang ramai. Tidak ramai yang sedar akan hak mereka. Jika pemandu mengalami kemalangan akibat masalah yang tidak ditangani oleh pihak berkuasa, mereka berhak untuk menyaman pihak berkuasa.”

Pemandu itu, Fahrurrazi Hamid, menyaman Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atas kerosakan dialami keretanya selepas melanggar lubang pada jalan di Bandar Sungai Long pada September 2020.

Beliau hanya ditawarkan RM1,430 sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim. Selepas mendapati tribunal tuntutan pengguna tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara ini, beliau menyaman majlis perbandaran itu.

Mahkamah Majistret Kajang memerintahkan MPKj untuk menyelesaikan tuntutan Fahrurrazi sebanyak RM2,980, merangkumi RM1,800 untuk empat rim, RM800 untuk satu tayar, caj tunda RM200, dan RM180 untuk caj pelarasan.

Statut had untuk saman dalam kes sedemikian ialah enam tahun dari hari kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.