
Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Bobby William, berkata menyandang jawatan tertinggi kerajaan terlalu lama mendorong perlakuan rasuah.
“Menyandang jawatan ini (premier Sarawak) terlalu lama boleh mendorong seseorang melakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya menurut Utusan Borneo.
Dalam pada itu, Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo, berkata langkah mengehadkan tempoh jawatan ketua kerajaan juga bukan sahaja perlu dilaksanakan di Sarawak, malah di seluruh negeri.
“Aspirasi menyokong sepenuhnya jika Sarawak mengambil langkah sama, mengehadkan tempoh jawatan premier Sarawak.
“Setiap negeri (di Malaysia) seharusnya memasukkannya ke dalam perlembagaan (negeri) masing-masing,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Ia susulan jemaah Kabinet negeri yang secara dasarnya telah meluluskan supaya jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal.
Hajiji berkata, sekiranya ADUN kerajaan, pembangkang dan rakyat bersetuju, cadangan itu akan dibahaskan di DUN Sabah untuk membolehkan pindaan perlembagaan dilakukan.