Jangan letak kepercayaan pada parti Melayu-Islam yang reda rasuah, kata Anwar

Jangan letak kepercayaan pada parti Melayu-Islam yang reda rasuah, kata Anwar

Presiden PKR itu mengutuk mereka yang solat lima waktu namun meredakan segala bentuk ketamakan termasuk meruntuhkan bukit dan mencuri balak.

Anwar Ibrahim berkata PKR tidak akan meminta maaf menjuarai kepentingan semua rakyat Malaysia sambil mempertahankan status Melayu-Islam. (Gambar Facebook)
BATU KAWAN:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mahu rakyat tidak menaruh kepercayaan terhadap parti politik yang meletakkan jenama Melayu-Islam hanya pada nama semata-mata, namun tidak pada amalan mereka khususnya dalam membasmi kemiskinan, rasuah dan kerosakan alam sekitar.

Sambil menujukan serangan kepada Umno dan PAS, Anwar berkata, parti terbabit seperti mahu mewujudkan sistem ketidaksamaan pendapatan yang merebakkan rasuah. Katanya, susulan tindakan itu mengakibatkan kemusnahan alam sekitar sehingga menyebabkan kesengsaraan rakyat.

“Bukit-bukau diruntuhkan atas nama Melayu dan Islam dan kita kata ‘Allahuakbar’,” kata presiden PKR itu ketika memberi ucapan di hadapan 1,000 ahli parti, sempena Konvensyen Wanita PKR, di sini, hari ini.

Beliau juga mengutuk mereka yang “mahu menjaga spiritual, menjaga solat lima waktu, memakai hijab, tetapi meredakan segala tamak haloba” meruntuhkan bukit termasuk mencuri balak.

Katanya, PKR merupakan parti berbeza dengan parti yang membawa jenama Melayu-Islam.

Sambil mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa kebangsaan dan status Melayu-Islam, parti itu juga memberi perhatian kepada semua kaum yang berdepan dengan masalah kemiskinan, katanya.

“Itu perbezaan mereka dan kita. Kita tidak akan meminta maaf dan kita akan kekal menjuarai kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau kepercayaan agama.

“Walaupun di kampung-kampung kita diasak seolah-oleh tidak ada pendirian, saya nak jawab, ini makna keadilan dan kesamarataan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.