DAP mesti berani berubah ikut keperluan semasa, kata Loke

DAP mesti berani berubah ikut keperluan semasa, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu turut memberi jaminan bahawa asas dan prinsip perjuangan parti itu tidak akan dilupakan dalam mengambil pendekatan dan strategi baharu.

Kongres Khas DAP hari ini menyaksikan usul dibentangkan bagi menggubal perlembagaan parti agar mana-mana wakil rakyat yang tidak mematuhi arahan parti dalam isu-isu utama boleh dipecat.
SHAH ALAM:
DAP perlu berani untuk membuat perubahan mengikut keperluan semasa demi mencapai matlamat perjuangan parti, kata Loke Siew Fook.

Setiausaha agung DAP itu ketika berucap pada kongres khas parti hari ini berkata, parti itu “tidak boleh terperangkap dalam paradigma yang lama dalam pendekatan dan strategi politik”.

“Bak kata Bruce Lee, ‘jadi seperti air’ yang tiada rupa mahupun bentuk, hanya mengikut acuan,” kata Loke kepada perwakilan DAP yang hadir.

“Kita mesti berani untuk membuat perubahan mengikut keperluan semasa dan mengorak langkah yang strategik demi mencapai matlamat perjuangan parti.”

Beliau turut memberi jaminan bahawa asas dan prinsip perjuangan DAP yang berlandaskan demokrasi, keadilan, kebebasan, budaya integriti dan tadbir urus yang baik tidak akan dilupakan dalam pendekatan dan strategi yang akan diambil.

Dalam pada itu, Loke berkata, beliau sedar ramai ahli dan penyokong DAP khuatir dengan keputusan parti itu, sebagai sebahagian daripada PH, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Namun, katanya, ia suatu langkah yang berani dan strategik oleh setiausaha agung DAP sebelum ini, Lim Guan Eng, kini pengerusi parti, yang membolehkan undang-undang lompat parti menjadi kenyataan.

“Dalam proses rundingan sebelum MoU ditandatangani, syarat yang paling penting diletakkan oleh pimpinan PH yang tidak boleh dikompromi ialah pindaan perlembagaan untuk membolehkan akta anti-lompat parti dilaksanakan,” katanya.

“Undang-undang ini amat penting dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-15 untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara dan kebolehpercayaan sistem pilihan raya kita.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan ini yang memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen akhirnya dapat direalisasikan kerana tindakan pimpinan DAP dan PH yang berani menggunakan kekuatan politik kita di Parlimen untuk memeterai MoU dengan pentadbiran (Perdana Menteri) Ismail Sabri Yaakob semasa kemuncak wabak Covid-19.”

Kongres Khas DAP hari ini menyaksikan usul dibentangkan bagi menggubal perlembagaan parti agar mana-mana wakil rakyat yang tidak mematuhi arahan parti dalam isu-isu utama boleh dipecat.

Bulan lepas, Loke berkata, pindaan ini adalah bagi melindungi parti daripada sebarang kelompongan dalam Akta Anti-Lompat Parti yang menyatakan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti tidak perlu untuk mengosongkan kerusi dipegang mereka.

Tambahnya, pindaan ini penting apabila melibatkan keputusan asas parti seperti pemilihan perdana menteri atau undi belanjawan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.