DAP lulus pindaan perlembagaan parti berkaitan anti-lompat

DAP lulus pindaan perlembagaan parti berkaitan anti-lompat

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan dengan JPPM untuk mengemaskini perlembagaan parti.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook bercakap pada sidang media selepas Kongres Khas Parti 2022 di IDCC Shah Alam.
SHAH ALAM:
DAP meluluskan pindaan pada perlembagaan partinya bagi membolehkan mana-mana wakil rakyatnya yang tidak mematuhi arahan parti dalam perkara-perkara utama dipecat.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, majoriti perwakilan yang hadir pada kongres khas parti itu hari ini menyokong pindaan tersebut.

Loke berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk mengemaskini perlembagaan parti.

“Saya harap JPPM dapat meluluskan permohonan itu secepat mungkin dan membolehkan kami melaksanakan pindaan sebelum pilihan raya akan datang (PRU15),” katanya.

Loke sebelum ini berkata, pindaan itu dibuat bagi melindungi parti daripada sebarang kelompongan dalam Akta Anti-Lompat Parti yang menyatakan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Kongres Khas DAP hari ini dihadiri 1,175 perwakilan, dengan 632 orang menyokong dan dua orang tidak menyokong pindaan pada perlembagaan parti.

Loke turut memaklumkan bahawa DUN Negeri Sembilan akan meminda perlembagaannya pada 17 Okt ini bagi menyertakan undang-undang anti-lompat.

Dalam pada itu, Loke berkata, beliau yakin Akta Anti-Lompat Parti akan dilaksanakan menjelang PRU15 selepas diluluskan Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.