Hadkan tempoh jawatan KM 2 penggal dibawa ke DUN Sabah, kata Hajiji

Hadkan tempoh jawatan KM 2 penggal dibawa ke DUN Sabah, kata Hajiji

Ketua menteri Sabah menjelaskan jemaah kabinet negeri secara dasarnya telah meluluskan supaya jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal.

Hajiji Noor (tengah) bersama pemimpin GRS pada program jelajah gabungan itu di Telupid, hari ini.
PETALING JAYA:
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Ia susulan jemaah kabinet negeri yang secara dasarnya telah meluluskan supaya jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal.

Hajiji berkata, sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, pembangkang dan rakyat bersetuju, cadangan itu akan dibahaskan di DUN Sabah untuk membolehkan pindaan perlembagaan dilakukan.

“Saya telah mencadangkan perkara ini dan kabinet negeri telah bersetuju. Mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri melibatkan soal perundangan, justeru perlembagaan negeri perlu dipinda menerusi persidangan DUN.

“Cadangan ini adalah salah satu inisiatif yang dibawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya ketika berucap pada program jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid, hari ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga pengerusi GRS sekali lagi mengingatkan supaya parti tempatan di Sabah bersatu bagi memajukan negeri.

Katanya, antara matlamat utama GRS adalah menyatupadukan parti bagi membolehkan Sabah diterajui oleh parti tempatan pada masa akan datang.

“Kita perlu belajar dari pengalaman pada masa lampau. Dalam politik, bagaimana keadaan kita apabila kita berpecah. Kerana itu, sudah sampai masanya rakyat Sabah, parti politik tempatan di Sabah mesti bergabung dalam satu gabungan yang kita panggil GRS.

“Tujuannya ialah untuk memastikan Sabah maju ke depan, Sabah maju jaya di masa akan datang, ini amat penting kerana kalau kita masih bercakaran dan berpecah, tidak mungkin kita berjaya,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya jentera GRS diaktifkan di semua kawasan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, jentera GRS mesti turun ke kampung bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai matlamat dan perjuangan GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.