
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Isnin lepas dipercayai berkaitan dengan siasatan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.
Berita Harian melaporkan tiga individu ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu susulan serbuan terbabit, dan perkara ini disahkan oleh Pengarah SPRM Selangor Alias Salim.
Menurut Alias, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sebelum itu, Datuk Bandar Shah Alam Zamani Ahmad Mansor mengesahkan kehadiran pegawai SPRM ke ibu pejabatnya di Seksyen 14 Shah Alam pada Isnin lepas.
“Memang benar, tetapi bukanlah serbu, saya juga tidak pasti, cuma kita belum dapat maklumat sebenar kes apa yang disiasat,” katanya, sambil menambah hanya pihak SPRM dapat membuat pengesahan mengenai perkara ini.