Masih ada masa buat PRU15 sebelum tengkujuh, kata penganalisis

Masih ada masa buat PRU15 sebelum tengkujuh, kata penganalisis

Menurut penganalisis, negara pernah mengadakan pilihan raya ketika musim banjir yang berjalan lancar.

Jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat ini, pilihan raya umum (PRU) boleh diadakan dalam tempoh seawal enam minggu, kata penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpendapat masih ada masa mencukupi untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebelum musim tengkujuh yang dijangka November depan.

Awang Azman Awang Pawi, yang juga pensyarah Universiti Malaya (UM), berkata jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat ini, PRU boleh diadakan dalam tempoh seawal enam minggu.

Menurutnya, jika berlaku banjir sekali pun, Malaysia pernah berdepan pengalaman seumpama itu yang berjaya dilangsungkan dengan lancar.

“Kalau bimbang (mengadakan pilihan raya) pada Disember atau hujung November, saya kira proses pilihan raya itu boleh dilangsungkan selepas enam minggu selepas pembubaran, maknanya sebelum tengkujuh bermula.

“Pilihan raya umum 1999 diadakan pada bulan November manakala pilihan raya negeri (PRN) Sarawak 18 Disember tahun lepas. Jadi ketika musim tengkujuh itu, pilihan raya pernah diadakan, bukan tidak pernah,” katanya kepada FMT.

Jabatan Meteorologi menjangkakan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut dijangka bermula November dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Awang Azman berkata kerajaan semestinya mengambil kira pelbagai faktor untuk mengadakan pilihan raya termasuk kesediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Agensi Pengurusan Bencana Negara Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sudah membuat persediaan sejak empat bulan lalu.

Jelasnya, agensi terbabit pastinya mempunyai peruntukan khas untuk mengadakan pilihan raya, begitu juga berdepan bencana banjir termasuk mekanisme dan jentera yang telah bersiap sedia.

Ogos lalu, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata kos mengadakan PRU15 dijangka mencecah hingga lebih RM1 bilion.

Jumlah itu adalah dua kali kos menganjurkan PRU14 iaitu sekitar RM500 juta manakala perbelanjaan bagi PRU13 adalah sekitar RM400 juta.

Peningkatan itu bagi menampung jumlah pengundi baharu melalui pelaksanaan had umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang membantah PRU15 diadakan pada musim tengkujuh kerana takut akan kalah.

Ketika melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN pada 17 Ogos lalu, Zahid dilaporkan berkata, gabungan itu sanggup meredah banjir untuk berkempen, jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh. Kenyataan itu kemudian dikritik pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengkritik Zahid atas kenyataannya mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh, dengan berkata presiden Umno itu tidak peka dengan masalah mangsa banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.