
Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar berkata, FMT sebagai portal berita mempunyai peranan penting sebagai platform komunikasi kesihatan awam dalam usaha memerangi Covid-19 dan cetusan jangkitan pada masa akan datang.
“Kami berterima kasih kepada NCSM kerana memberikan maklumat penting dan boleh dipercayai kepada kami tentang vaksin untuk kami terbitkan. Kami juga berterima kasih kepada pembaca kerana berkongsi artikel berkenaan, yang tambah meluaskan capaiannya.
“Pengiktirafan diberikan NCSM kepada pelbagai pihak, termasuk sukarelawan, masyarakat awam, syarikat, perusahaan kecil dan sederhana, dan media, menunjukkan bagaimana rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat bersatu pada masa sukar.

“Syukur, kita akhirnya mula kembali hidup dalam keadaan normal,” katanya.
Program vaksinasi Covid-19 NCSM bermula pada akhir Februari, memfokuskan terutamanya kepada komuniti yang rentan dan berisiko tinggi, termasuk penghidap penyakit tidak berjangkit seperti kanser.
Program itu merangkumi inisiatif “Infovax: A Dose of Truth”, yang bertujuan untuk memerangi maklumat salah tentang vaksin Covid-19.
FMT membawakan siri pendidikan kesihatan yang terdiri daripada artikel-artikel yang ditulis oleh Pengarah Urusan NCSM Dr M Murallitharan.
Murallitharan berkata, artikel-artikel dalam siri Infovax dibaca oleh 19 juta orang dan program itu secara keseluruhannya telah membantu 109,668 individu, dengan lebih 150,000 dos vaksin disampaikan.
“Apabila Malaysia memulakan program vaksinasi, kami mengerahkan kakitangan dan sukarelawan kami untuk membantu usaha vaksinasi menerusi kempen komunikasi bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai vaksin,” katanya.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Pusat Konvensyen Sime Darby malam tadi.
“Apabila kita sudah selesai dengan Covid-19 atau ia sudah terkawal, Kementerian Kesihatan (KKM) dan NCSM mesti kembali memerangi kanser.
“Saya memberikan komitmen penuh kepada NCSM bahawa kita akan memerangi kanser bersama-sama,” kata Khairy.
Majlis penyampaian anugerah itu diadakan sempena pelancaran buku “From Cancer to Covid-19: How The National Cancer Society Malaysia Supported the Malaysian Covid-19 Vaccination Efforts”.
Buku itu merakam perjalanan vaksinasi NCSM serta proses pemikiran yang membimbing perancangan dan pelaksanaan dalam menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan permaisurinya, Tuanku Zara Salim.