Apa jadi dengan pelan mitigasi banjir P Pinang, Gerakan tanya kerajaan negeri

Apa jadi dengan pelan mitigasi banjir P Pinang, Gerakan tanya kerajaan negeri

Ketua Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata, banjir kilat yang berlaku pagi ini menjadi bukti kegagalan pelan tebatan banjir yang diumumkan pada 2016.

Beberapa kawasan di Bayan Lepas, Bayan Baru dan Bukit Jambul, Pulau Pinang dilanda banjir kilat pagi tadi. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Gerakan Pulau Pinang mempersoalkan rancangan tebatan banjir kerajaan negeri bernilai RM10 juta berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri itu pagi ini.

Hujan lebat sejak 5 pagi itu mengakibatkan kawasan Bayan Lepas, Bayan Baru serta Bukit Jambul terjejas dan beberapa laluan utama ditenggelami air sehingga menyukarkan kenderaan ringan melaluinya.

Ketua Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata, banjir kilat yang berlaku pagi ini menjadi bukti kegagalan rancangan tebatan banjir yang diumumkan pada 2016.

“Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan rancangan tebatan banjir yang gah bagi bahagian selatan pulau,” katanya dalam kenyataan.

“Ramai tertanya-tanya apa yang terjadi dengan rancangan itu.”

Menurut Oh, Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum ini mengumumkan tiga projek tebatan di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Jalan Tun Dr Awang ke Relau dan Bayan Baru bernilai hampir RM7.5 juta semasa beliau menjadi pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan pada 2016.

Oh berkata, RM2.2 juta lagi turut diperuntukkan untuk Sungai Bayan Lepas.

Jika projek itu telah dijalankan, katanya, ia bukan perbelanjaan yang baik kerana wang pembayar cukai digunakan untuk projek mitigasi yang tidak berfungsi.

Oh turut menggesa agar audit segera dijalankan untuk melihat sama ada wang itu benar-benar dibelanjakan untuk mitigasi atau sebaliknya.

Awal hari ini, Bernama melaporkan bahawa Kampung Masjid, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Kampung Binjai dan Kampung Seronok terjejas akibat banjir.

Air banjir surut pada kira-kira 10.15 pagi, tanpa sebarang pemindahan penduduk dilaporkan.

Kawasan-kawasan itu terdedah kepada banjir kerana terletak di bahagian lebih rendah di sepanjang Sungai Bayan Lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.