
Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.
Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.
Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Zahid masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan kerana menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.
Dalam penghakimannya, Yazid berkata, kes pendakwaan gagal kerana tiga saksi utamanya – bekas pengarah UKSB Harry Lee, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan – tidak boleh dipercayai.
Tambahan pula, lejar yang dikatakan menyenaraikan bayaran kepada menteri, ahli politik dan penjawat awam tidak menyokong keterangan ketiga-tiga saksi itu.
“Pihak pendakwaan tidak dapat mewujudkan kes prima facie kerana ketiga-tiga (saksi) tidak boleh dipercayai,” katanya.
Menurut Yazid, Tan dinyatakan telah membayar RM3 juta kepada Zahid tetapi ini tidak disebut dalam pernyataan saksinya.
“Semasa pemeriksaan balas, dia bersetuju bahawa pembayaran itu ialah sesuatu yang difikirkan kemudian,” katanya.
Hakim berkata, Tan juga tidak memberikan penjelasan mengapa Zahid diberikan nama kod berbeza dalam lejar.

Tan menyediakan lejar menggunakan Microsoft Excel di komputer ribanya.
Dalam lejar tersebut, dia menggunakan nama kod Monster, Mon, YB, Young Boy, ZH and Z bagi Zahid.
Yazid berkata, Lee tidak dapat menyatakan dengan pasti bahawa wang yang diambilnya daripada Tan diberikan kepada Zahid berdasarkan komen dalam lejar
Katanya, lejar tersebut juga tidak menyokong pernyataan lisan Wan Quoris.
Hakim turut mengkritik pihak pendakwaan kerana tidak memanggil individu dikenali sebagai Nicole Tan, yang namanya muncul dalam hampir setiap muka surat lejer.
Beliau turut menyangkal hujah pendakwaan bahawa Zahid dihadapkan dengan perbicaraan yang tidak adil.
“Malah, tertuduh diwakili oleh pasukan pembelaan yang berkebolehan diketuai peguam kanan jenayah Hisyam Teh Poh Teik,” katanya sambil menambah, peguam negara mempunyai kuasa budi bicara mengenai siapa yang ingin didakwanya.
Yazid juga tidak menerima pembelaan sumbangan politik yang dikemukakan oleh peguam Zahid.
“Mesti ditunjukkan bahawa sumbangan seperti itu dibelanjakan semata-mata untuk kegiatan politik,” katanya.
Peguam Hamidi Mohd Noh, Ahmad Zaidi Zainal, Aiman Abdul Rahman, Fatini Athirah Baharin, Sharifah Annafiza Al-Shahab Syed Fadzil, Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan dan Nabihah Meor Azli turut mewakili Zahid.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim dan Thavani Balakrishnan tampil untuk pendakwaan.