
“Perdana menteri pastinya sedar bahawa kredibiliti SPRM sedang dipersoalkan selepas ketua pesuruhjayanya didakwa memiliki sejumlah besar ekuiti korporat,” kata Edmund Terence Gomez kepada FMT.
Gomez meletak jawatan daripada panel perundingan dan pencegahan rasuah SPRM Disember lepas atas kegagalannya membincangkan laporan yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memiliki sejumlah besar saham korporat.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, SPRM akan mengeluarkan kod etika baharu berhubung arahan kepada hakim dan ketua syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan untuk mengisytiharkan aset mereka kepada badan anti-rasuah itu.
Gomez berkata, GLC harus ditakrifkan dengan betul, sambil menyatakan bahawa banyak institusi secara kolektif diklasifikasikan sedemikian.
“Adakah kerajaan tahu berapa banyak GLC yang ada di negara ini?” soalnya.
Takrifan GLC meliputi syarikat yang diperbadankan bawah Akta Syarikat, badan berkanun, yayasan, syarikat tujuan khas dan institusi kewangan pembangunan.
Beliau tertanya-tanya sama ada kerajaan bersedia mengeluarkan senarai semua individu yang menerima gaji untuk berkhidmat sebagai pengarah GLC.
Tanpa senarai sedemikian, katanya, SPRM tidak akan mengetahui individu yang dikehendaki mengisytiharkan harta mereka.
Gomez juga bertanya sama ada kerajaan akan mendedahkan senarai itu kepada umum.
“Ini akan mencetuskan keyakinan rakyat bahawa perdana menteri serius memantau perbelanjaan awam GLC,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif yang diumumkan perdana menteri itu mungkin tidak dipandang serius jika tiada usaha untuk membenarkan SPRM tertakluk kepada penelitian, bermula dengan siasatan ke atas dakwaan terhadap Azam.
Gomez turut menggesa agar ekosistem GLC disemak dengan teliti pada kadar segera.
“Pada Ogos 2021, kerajaan mengumumkan rancangan Perkukuh Pelaburan Rakyat, suatu usaha yang fokus kepada menerapkan tadbir urus yang baik dalam ekosistem GLC. Apa jadi sejak itu?”