Sekolah rendah di Pahang disenarai pendek Hadiah Sekolah Terbaik Dunia

Sekolah rendah di Pahang disenarai pendek Hadiah Sekolah Terbaik Dunia

Sekolah Kebangsaan Kempadang disenarai pendek bagi kategori hadiah inovasi selepas mencipta 'Smartzoom', sistem penjejakan automatik yang mengikuti perkembangan murid dalam pembelajaran.

Sekolah Kebangsaan Kempadang berpeluang memenangi hadiah US$50,000 dalam kategori inovasi. (Gambar SK Kempadang)
PETALING JAYA:
Sebuah sekolah rendah di Kuantan, Pahang, menjadi 3 finalis yang disenarai pendek bagi Hadiah Sekolah Terbaik Dunia untuk berkongsi wang tunai kemenangan RM1.14 juta (USD250,000).

Sekolah Kebangsaan Kempadang (SK Kempadang), yang juga Sekolah Amanah, berjaya menempatkan diri bagi tiga terakhir dalam kategori inovasi – satu daripada lima kategori dalam anugerah itu.

Sekolah berkenaan disenarai pendek bagi hadiah inovasi selepas mencipta ‘Smartzoom’, iaitu sistem penjejakan automatik yang mengikuti perkembangan murid dalam pembelajaran mereka menggunakan input daripada ‘Google Sheets’ dan Google Chrome’.

Ciptaan itu dibuat ketika kelas bersemuka ditangguhkan susulan pandemik Covid-19, dan selepas Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk menggantikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan penilaian berasaskan sekolah.

Pertubuhan pendidikan global, T4 Education, yang melancarkan anugerah itu tahun ini, turut bekerjasama dengan Accenture, American Express, Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Lemann Foundation, D2L, Mellby Gård, dan Universidad Camilo José Cela.

“Hadiah Sekolah Terbaik Dunia mengiktiraf kepakaran sekolah berinspirasi dari segenap pelusuk dunia. Tiba masanya kerajaan di seluruh negara mendengar suara mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif T4 Education Vikas Pota.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazar dalam kenyataan, mengucapkan tahniah kepada SK Kempadang susulan dinamakan sebagai finalis dalam kategori inovasi.

“Warga pendidik di serata dunia akan mengambil inspirasi hebat daripada Sekolah Amanah Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan, selain membuktikan sekolah awam kita mempunyai kemampuan berada di antara terbaik dunia,” katanya.

Sekolah rendah itu akan menerima RM228,350 (USD50,000) sekiranya menang dalam kategori dipertandingkan dengan pengundian membabitkan undi orang awam, termasuk panel hakim terpilih daripada golongan akademik, pendidik, pemimpin NGO, wakil persatuan sivil dan lain-lain pakar.

Sekirang SK Kempadang menang, mereka berhasrat menggunakan dana itu untuk meningkat serta mengembangkan kapasiti Smartzoom, dan berkongsi teknologi berkenaan dengan sekolah lain di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.