
Waytha merujuk kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan penggal maksimum lima tahun Parlimen, namun tidak menyebut siapa yang boleh meminta pembubaran dibuat dengan alasan apa sekali pun.
Bekas pemimpin Hindraf itu berkata, Ismail dilantik memegang jawatan tertinggi oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan keyakinan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Justeru, ketiadaan sebarang peruntukan atau keadaan yang digariskan dalam Perlembagaan, adalah selamat untuk mentakrifkan menjadi budi bicara sepenuhnya bagi perdana menteri bagi membubarkan Parlimen.
“Tanggapan yang berlegar bahawa Kabinet mesti bersetuju dengan keputusan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen adalah salah dan tidak mempunyai justifikasi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Waytha juga berkata, Perkara 43(4) Perlembagaan memperuntukkan Agong mempunyai kuasa menolak pembubaran Parlimen sekiranya perdana menteri hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Dalam situasi semasa, Ismail mempunyai sokongan majoriti dan tiada siapa pun yang meraguinya. Jadi, hak untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya atas budi bicaranya seperti diperuntukkan dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada ruang dalam keadaan semasa untuk Perkara 43(4) digunakan bagi menyusahkan Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa budi bicara untuk menahan pembubaran.”
Awal hari ini, menurut Utusan Malaysia, anggota Jemaah Menteri dilaporkan gagal mencapai kata sepakat mengenai tarikh sesuai bagi PRU15 dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ismail, semalam, dengan menteri daripada Bersatu dan PAS menolak PRU diadakan dalam tempoh terdekat.
Laporan itu memetik seorang menteri yang tidak dinamakan berkata, ada juga menteri berpendapat sangat rugi Parlimen dibubarkan sebelum bajet diluluskan dan kerajaan juga perlu mengambil kira faktor banjir yang dijangka lebih buruk pada hujung tahun ini.
Terdahulu, veteran DAP Lim Kit Siang, berkata adalah berasas bagi Agong sekiranya baginda menolak membubarkan Parlimen demi menghalang PRU15 diadakan ketika musim tengkujuh.