PH sukar menang 30% undi Melayu, kata penganalisis

PH sukar menang 30% undi Melayu, kata penganalisis

Azmi Hassan menjangkakan pertarungan satu lawan satu tidak akan banyak dilihat dalam PRU15.

Azmi Hassan berkata, ramai pengundi tidak berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan sepanjang 22 bulan pentadbirannya.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik meramalkan pertarungan untuk mendapat undi Melayu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lebih sukar dengan penyertaan lebih banyak parti berasaskan Melayu.

Pertandingan satu lawan satu tidak akan banyak berlaku, kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara ketika mengulas ramalan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa calon PKR dan Pakatan Harapan (PH) boleh menang pertarungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) di 27 “kerusi dianggap kritikal”.

Azmi juga berkata, Gerakan Tanah Air dan Warisan akan menyasarkan kebanyakan kerusi marginal dan undi Melayu.

Isnin lalu, Rafizi dilaporkan berkata, PH mempunyai peluang baik untuk meraih 30% sokongan pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Azmi Hassan.

Beliau juga menjangkakan 80% sokongan bukan Melayu dan peratusan keluar mengundi melebihi 75%. Sebanyak 20 daripada 27 kerusi itu kini dipegang PKR.

Bagaimanapun, Azmi memberitahu FMT, PH mungkin sukar memenangi hati pengundi Melayu pro-BN di kawasan marginal kerana mendakwa rasa tidak puas hati mereka terhadap prestasi gabungan itu sepanjang pentadbirannya selama 22 bulan.

Katanya, peratusan keluar mengundi untuk PRU15 dijangka rendah, sepertimana ketika pilihan raya negeri Johor, walaupun golongan berusia 18 hingga 20 tahun kini dibenarkan mengundi.

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya percaya PH akan mendapat lebih banyak sokongan Melayu, jika PRU15 diadakan tahun depan.

Awang Azman Pawi.

Katanya, ini akan memberikan gabungan itu lebih peluang untuk mengambil hati pengundi Melayu di kawasan kritikal marginal menerusi inisiatif seperti kempen “Ayuh Malaysia” oleh Rafizi.

Beliau berkata, BN akan mempunyai kelebihan sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

Merujuk cadangan Rafizi supaya “pungutan suara dalam talian” diadakan untuk mendapat sokongan orang ramai menentang PRU15 diadakan pada musim tengkujuh, Awang Azman berkata, sekiranya ia berjaya, ini akan memberi masa kepada PH untuk mendekati pengundi Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.