Perbicaraan cabar saksi kes Zahid 31 Okt

Perbicaraan cabar saksi kes Zahid 31 Okt

Satu perkara undang-undang menarik dibangkitkan buat kali pertama sama ada dokumen diklasifikasi mengikut Akta Rahsia Rasmi boleh digunakan bagi mencabar saksi.

Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berkait Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.
KUALA LUMPUR:
Prosiding mencabar saksi pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi, ditangguh untuk memberi masa kepada pasukan pembelaan melakukan kajian sebelum membuat hujahan.

Ketua pasukan pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik, memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah, bahawa satu perkara undang-undang menarik dibangkitkan buat kali pertama.

Ia berkenaan sama ada dokumen diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti saksi.

Sequerah membenarkan penangguhan kepada 31 Okt.

Awal hari ini, hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kontraktor, Jefri Jamil, yang menjadi saksi ketiga pembelaan dalam perbicaraan Zahid.

Keterangan Jefri di mahkamah, hari ini, dikatakan bercanggah dengan apa yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sequerah berkata, permohonan dibuat pihak pendakwaan mengikut Seksyen 155(c) Akta Keterangan tidak menunjukkan sama ada dokumen (keterangan dirakam SPRM) diklasifikasikan mengikut OSA atau tidak.

Selepas memeriksa sebahagian daripada keterangan diberikan pihak pendakwaan, hakim memutuskan wujud percanggahan material.

Jefri merupakan saksi ditawarkan oleh pihak pembelaan ketika Zahid diperintah membela diri. SPRM merekodkan keterangannya, pada 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Toran berkata dalam kes undang-undang, hanya hakim dan saksi sahaja boleh terbabit dalam prosiding berkenaan.

Katanya, keterangan akan ditanda sebagai eksibit dan salinan akan diberikan kepada pasukan pembelaan.

Raja Rozela berkata, Jefri akan diberikan peluang menjelaskan mengapa berlaku percanggahan dalam pernyataannya dan keterangan di mahkamah.

Zahid berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Sebanyak 27 pertuduhan bagi pengubahan wang haram, manakala lapan bagi rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.