
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata pasangan itu akan dituduh pada 9 pagi di Mahkamah Ampang.
“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Jumaat lalu, media melaporkan polis menahan suami isteri masing-masing berusia 29 dan 33 tahun kerana disyaki mendera dua anak saudara mereka di sebuah kondominium di Taman Cahaya, Ampang.
Polis berkata, kanak-kanak lelaki berkenaan didapati mempunyai kesan lebam di bahagian belakang badan, kaki dan tangan dipercayai akibat didera.
Sebelum itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di dalam rumah cuba terjun dan melarikan diri melalui tingkap sebuah kondominium tingkat empat.
Bagaimanapun, bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan memecah masuk ke dalam rumah dengan bantuan polis.
Siasatan polis mendapati, suspek wanita merupakan adik kepada ibu kandung mangsa dan telah menjaga dua beradik itu sejak dua tahun, selepas bapa kandung kepada kanak-kanak itu meninggal dunia.
Selain mangsa, seorang lagi adik perempuannya berusia enam tahun yang juga mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai akibat penderaan.