
Ketika putera muda itu yang kini dikenali sebagai Raja Charles III menghadiri acara rasmi di sepanjang Queen Street, Gurunathan, ketika itu berusia 27 tahun, membuat keputusan untuk turut hadir, dengan agendanya tersendiri.
“(Ketika itu) saya pelajar di Universiti Victoria Wellington yang menjalankan penyelidikan mengenai Bastion Point di Auckland,” kata Gurunathan kepada FMT.
“Hanya beberapa hari sebelum itu, aktivis Maori Dun Mihaka ditangkap pada satu protes terhadap lawatan diraja di Wellington. Saya memutuskan untuk membuat pelekat saya sendiri dan menyertai protes di Auckland.”
Gurunathan, kini datuk bandar Kapiti Coast di Wellington untuk penggal kedua, pergi ke lokasi itu mencari protes tetapi beliau tidak menemukannya. Sebaliknya, jalan itu dipenuhi orang ramai yang teruja menantikan kehadiran putera itu.
“Saya tahu putera itu akan datang. Saya buat keputusan untuk mengadakan protes saya sendiri. Saya buang suratkhabar yang menutupi pelekat saya, mengangkatnya tinggi, dengan mesej ‘Pommy Go Home’ pada satu sisi dan di bahagian belakangnya, ‘Down with Feudalism’,” katanya.
Seorang lelaki kulit putih di seberang jalan kemudian bertempik kata-kata yang tidak enak merujuk kepada orang India, katanya.
Keadaan kemudian menjadi buruk dengan pantas.
“Saya rasakan terjahan kuat dari belakang yang menyebabkan saya jatuh tertiarap. Polis menggari saya dan membawa saya ke balai. Saya diproses, didakwa dan dibebaskan pada hari yang sama. Saya dapat tahu kemudian sebab saya diterjah, polis itu orang Britain (Pommy),” kata Gurunathan.
Memetik hujah pembelaan yang dikemukakan peguam pro bono Barry Littlewood di mahkamah daerah, Auckland Star melaporkan: “Sabitan kesalahan terhadap anak guamnya akan dilihat oleh sesetengah pihak sebagai mahkamah berpihak kepada mereka yang berpandangan konvensional mengenai hubungan di negara ini menentang lelaki warga asing yang menzahirkan pandangannya yang tidak konvensional.”
Littlewood dipetik sebagai berkata: “Gurunathan sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam sains politik dan mendapati New Zealand mempunyai hubungan kolonial dan feudal, yang menindas kumpulan minoriti, khususnya Maori.”
Hakim mensabitkan Gurunathan dengan kesalahan berperangai tidak senonoh tetapi membebaskannya tanpa dikenakan denda.
“(Hakim) berusaha menjelaskan situasi yang saya hadapi. Katanya, walaupun saya berhak atas kebebasan bersuara, tingkah laku dan pandangan saya yang tidak konvensional bertentangan dengan pandangan orang ramai yang berkumpul (di Queen Street). Oleh sebab itu, saya mencetuskan kekacauan,” kata Gurunathan.
Bersetuju dengan pemerhatian itu, Gurunathan berkata, inteleknya sebagai aktivis pelajar berniat untuk menyasarkan mesej “Pommy Go Home” itu kepada Putera Charles.
“Saya tidak sedar bahawa ramai yang hadir ketika itu, warga Britain sendiri atau berketurunan Inggeris, akan menganggapnya sebagai serangan peribadi terhadap mereka. Boleh jadi campur tangan polis itu telah menyelamatkan saya daripada dipukul.”
Tiga puluh tahun kemudian, apabila Gurunathan membuat keputusan untuk menjadi warga New Zealand, langkah terakhir dalam proses tersebut adalah membuat deklarasi sumpah/ikrar taat setia mandatori kepada Ratu Elizabeth II.
“Saya selesaikan dilema mendalam itu dengan meminta kebenaran untuk melafazkan sumpah dalam bahasa Maori, bukan bahasa Inggeris, dan saya dibenarkan berbuat demikian,” katanya.
“Walaupun tidak tahu bahasa itu, saya menghafal (kata-katanya). Pada majlis itu, bahasa itu menjadi penampan untuk saya mengatasi masa lalu dijajah dan mengecap kerakyatan New Zealand.”
Gurunathan berkata, sejak menjadi datuk bandar enam tahun lepas, tanggungjawabnya termasuk merasmikan upacara kewarganegaraan di dewan majlis, di hadapan potret Ratu Elizabeth.
“Ya, monarki British telah menjadi sebahagian daripada ekonomi penjajah yang menindas. Tetapi saya sentiasa melihat jawatan datuk bandar dan tugasnya sebagai lebih besar daripada pandangan dan pengalaman peribadi saya.
“Saya telah menjalankan tugas dengan setia bagi jawatan yang diberikan kepada saya, tetapi saya akan tetap mengingati putera, yang boleh saya katakan pernah jumpa pada 1981 di Queen Street, yang kini sudah menjadi raja.”