Ali Hassan, pengasas Al-lkhsan jadi ahli panel badan pemantau SPRM

Ali Hassan, pengasas Al-lkhsan jadi ahli panel badan pemantau SPRM

Seramai tujuh ahli panel badan pemantau bebas SPRM menerima surat cara dan pelantikan hari ini.

Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd Ali Hassan Mohd Hassan dilantik sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seramai tujuh ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima surat cara dan pelantikan hari ini, termasuk Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan.

Dua daripada mereka adalah lantikan semula sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) manakala empat lagi sebagai ahli PPPR baharu, dan seorang lagi telah dilantik pada 1 April 2022.

Turut dilantik sebagai ahli PPPR ialah bekas ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA) Borhan Dolah, Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Mohamad Salim Fateh Din, bekas naib canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Asma Ismail, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Azizan Baharuddin, Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dan Gabenor Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) Yasmin Ahmad Merican.

Surat cara dan pelantikan dalam badan bebas bagi memantau pelaksanaan fungsi serta operasi SPRM itu disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang, dengan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan sempena majlis penyampaian surat cara dan pelantikan itu berkata, semua mereka dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas SPRM bagi tempoh dua tahun.

“Semua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang untuk mewakili masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.

“Tempoh pelantikan ahli PPPR lantikan semula dan baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2024,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.