
Harian Metro memetik sumber sebagai berkata, bot yang membawa 11 pemancing itu dipercayai keluar ke laut Isnin lalu dan difahamkan karam kira-kira 8.30 malam kelmarin.
Katanya, dua pemancing yang terselamat itu ditemui terapung di perairan Mukah pada 5 petang semalam oleh kru kapal tunda, Capella yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching.
Jurucakap Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) ketika dihubungi akhbar itu mengesahkan kejadian dan sedang mendapatkan maklumat lanjut.
“Untuk makluman awal, MRSC Kuching menerima maklumat insiden sebuah bot bernombor pendaftaran SF2- 2837 karam bersama 11 mangsa di kedudukan lebih kurang 34 batu nautika dari barat laut Mukah.
“Sehingga kini, hanya dua mangsa ditemui selamat, manakala sembilan masih hilang. Sebarang perkembangan mengenainya akan kami maklumkan dari masa ke masa.”