Setiausaha syarikat, firma guaman, pengedar logam antara sektor terdedah ubah wang haram, kata SPRM

Setiausaha syarikat, firma guaman, pengedar logam antara sektor terdedah ubah wang haram, kata SPRM

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mendedahkan perkara itu berdasarkan penilaian risiko nasional (NRA) 2022.

Aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan memberikan impak negatif kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya.
KUALA LUMPUR:
Setiausaha syarikat, firma guaman serta pengedar logam berharga dan batu dikenal pasti antara sektor yang terdedah kepada aktiviti pengubahan wang haram, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mendedahkan perkara itu berdasarkan penilaian risiko nasional atau dikenali sebagai National Risk Assessment (NRA) 2020 yang dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai pematuhan dari sektor itu supaya lebih peka dan berhati-hati terhadap risiko perniagaan mereka yang boleh disalahgunakan untuk dijadikan “lubuk” aktiviti pengubahan wang haram.

“Jika tidak dikawal, aktiviti pengubahan wang haram akan membolehkan penjenayah terus mendapat manfaat hasil daripada jenayah mereka.

“Semua pihak berkepentingan perlu sedar bahawa pengesanan, pencegahan dan penguatkuasaan yang berkesan terhadap aktiviti itu adalah aspek penting dalam memerangi jenayah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi dialog mengkaji hubungan antara rasuah dan jenayah berisiko tinggi yang dikenalpasti dalam Penilaian Risiko Nasional (NRA) di Lanai Kijang.

Khusairi berkata aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan memberikan kesan amat serius kepada integriti sistem kewangan sekaligus memberikan impak negatif kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara.

Beliau berkata, dalam laporan NRA 2020 juga telah mengenal pasti lima jenayah utama yang menyumbang kepada ancaman aktiviti pengubahan wang haram yang tinggi kepada negara ini.

Katanya, ia termasuk penipuan melibatkan skim pelaburan haram, pengedaran dadah terlarang, rasuah, penyeludupan melibatkan pengelakan kastam dan duti eksais serta jenayah terancang.

“Selain itu, terdapat juga peningkatan risiko untuk dua jenayah iaitu melibatkan jenayah alam sekitar akibat pemerdagangan hidupan liar, perlombongan haram serta pengimportan sisa plastik haram,” katanya.

Katanya, status lima jenayah berisiko tinggi itu juga dijangka akan terus kekal tidak berubah dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.