PH tubuh jawatankuasa runding dengan Muda, PSM

PH tubuh jawatankuasa runding dengan Muda, PSM

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata PH belum membuat keputusan berhubung permohonan Muda menyertai gabungan itu.

Majlis Presiden PH berkata hasrat Muda menjadi komponen gabungan itu dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mahu bekerjasama mengurangkan pertembungan pembangkang pada PRU15.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung hasrat Muda menyertai gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden Amanah Mohamad Sabu, sebaliknya memaklumlan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengadakan rundingan bersama Muda termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut menyatakan hasrat bekerjasama dengan PH dalam PRU.

“Belum ada keputusan muktamad lagi (permohonan Muda mahu sertai PH), ada satu jawatankuasa akan berunding dengan Muda dan PSM,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden di Ibu Pejabat PKR.

Sementara itu, menerusi kenyataan Majlis Presiden PH memaklumkan gabungan itu telah meneliti dan membincangkan permohonan Muda dan PSM bekerjasama secara rasmi.

Sehubungan itu, PH bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan pihak Muda dan PSM.

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen PH, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR, Steven Sim Chee Keong dari DAP, Mohd Hasbie Muda dari Amanah dan Ewon Benedick dari Upko.

“Hasrat Muda dan PSM ini bererti parti-parti yang bersedia berpegang pada prinsip-prinsip dan berada di landasan yang sama dengan PH dapat dirangkul kekuatan bagi menghadapi PRU15. Pada masa yang sama, pertembungan kerusi dapat dielakkan,” kata kenyataan itu.

Hari ini, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata partinya mahu menjalin pakatan pilihan raya dengan PH dan meletakkan “empat atau lima” calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kerusi Parlimen menggunakan tiket gabungan itu.

Katanya, PSM tidak bercadang menyertai PH sebagai parti komponen secara rasmi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil memaklumkan jawatankuasa rundingan akan berunding secepat mungkin bersama Muda dan PSM dan hasil rundingan itu kemudian sekali lagi akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, bagaimanapun jawatankuasa rundingan itu hanya berkisar kepada permohonan Muda dan PSM sahaja tanpa membabitkan agihan kerusi.

Pada 6 Sept, Muda menyatakan hasrat menyertai PH sebagai komponen gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

Sementara itu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai perubahan logo baharu gabungan berkenaan memaklumkan ia akan dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.