Dakwa gagal urus ekonomi: Muhyiddin cuba ‘sabotaj’ Ismail, kata Zahid

Dakwa gagal urus ekonomi: Muhyiddin cuba ‘sabotaj’ Ismail, kata Zahid

Presiden Umno berkata kenyataan pengerusi PN mendakwa perdana menteri sebagai gagal mengurus ekonomi membuktikan kebenaran dibangkitkan parti itu sebelum ini bahawa kerajaan tidak stabil.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berbaur sabotaj terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin melakukan “sabotaj” susulan kenyataannya yang menggambarkan kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob gagal menguruskan ekonomi.

Katanya, Muhyiddin selaku pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sepatutnya mengetahui kenyataan negatifnya itu akan memberi kesan kepada prestasi kerajaan di peringkat antarabangsa.

“Tindakan pengerusi PN menyerang perdana menteri juga berbaur sabotaj terhadap kerajaan campuran Keluarga Malaysia.

“Bagaimana pelabur asing boleh menyakini Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan apabila pengerusi MPN menyatakan yang buruk tentang kerajaannya sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri, menyarankan Ismail membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

“Barisan Nasional sedang menekan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.

“Tetapi, saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.

Zahid ketika mengulas lanjut, berkata tindakan Muhyiddin membuktikan “ketidakstabilan”, selain pentadbiran kerajaan dilihat saling tuduh menuduh.

“Ketidakstabilan ini yang menyulitkan kerajaan untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang,” katanya.

Justeru itu, katanya, rakyat seharusnya boleh menilai tentang kebenaran dibangkitkan Umno mengenai ketidakstabilan yang wajib dipulihkan.

“Ia amat mustahak direalisasikan segera kerana sebuah kerajaan yang kukuh sangat diperlukan bagi mendepani risiko kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan,” katanya.

Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata Malaysia tidak akan terkecuali menerima kesan kelembapan ekonomi pada 2023 kesan daripada apa yang berlaku kepada Amerika Syarikat, Eropah dan China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.