Siasatan Raja Petra didakwa fitnah bekas pengarah JSJK masih berjalan, kata polis

Siasatan Raja Petra didakwa fitnah bekas pengarah JSJK masih berjalan, kata polis

Raja Petra Kamarudin yang dipercayai berada di luar negara mendakwa teman wanita Amar Singh hadir ketika serbuan dilakukan polis di kediaman Najib Razak, pada Mei 2018.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh dan dua lagi timbalan pengarah yang sudah bersara membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis sudah merekodkan kenyataan daripada beberapa individu berhubung siasatan terhadap dakwaan fitnah dibuat blogger, Raja Petra Kamarudin, terhadap bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Amar Singh.

“Kami membuka siasatan mengikut Seksyen 500 bagi fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman.

“Kami sudah merekodkan kenyataan daripada beberapa individu termasuk pengadu.”

Bagaimanapun, Yahaya tidak memberi perincian berhubung identiti pihak yang dirakam keterangan.

Pada 12 Ogos, Amar dan dua lagi timbalan pengarah yang sudah bersara membuat laporan polis terhadap Raja Petra, yang dipercayai berada di luar negara.

Blogger berkenaan dalam portalnya, Malaysia Today, mendakwa teman wanita Amar hadir ketika serbuan ke atas kediaman bekas perdana menteri, Najib Razak, pada Mei 2018 dan membawa pulang satu daripada beg yang dirampas polis.

Amar menafikan dakwaan itu sambil menyatakan terdapat rekod terperinci barangan dirampas polis dan tiada orang awam hadir ketika serbuan terbabit.

Katanya, terdapat banyak gambar dan video diambil ketika operasi dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.