Kerajaan cadang tubuh jawatankuasa tangani penipuan kerja luar negara

Kerajaan cadang tubuh jawatankuasa tangani penipuan kerja luar negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet esok.

Abdul Latiff Ahmad pada sidang media di kementeriannya bersama beberapa ahli keluarga mangsa dan NGO.
PUTRAJAYA:
Kerajaan merancang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu sindiket penipuan pekerjaan di luar negara dan jenayah rentas sempadan di peringkat Asean.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad, berkata cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet esok susulan isu sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

“Kerajaan memandang serius mengenai perkara ini apabila anak-anak Malaysia terperangkap dalam apa yang dikatakan sebagai penghambaan di beberapa negara Asean.

“Saya berpendapat perkara ini akan dapat diselesaikan secara holistik apabila dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok,” katanya dalam sidang media turut disertai beberapa NGO dan ahli keluarga mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

Beliau berkata, kementerian turut mencadang kepada Kabinet penubuhan satu jawatankuasa khas mengenai sindiket penipuan pekerjaan serta jenayah rentas sempadan di peringkat Asean.

Katanya, kira-kira 170 rakyat negara ini menjadi mangsa sindiket berkenaan di Laos, Kemboja dan Myanmar, dan isu itu memerlukan pendekatan menyeluruh.

Menurutnya, kerajaan melalui Wisma Putra bekerjasama rapat dengan negara terlibat, tetapi menghadapi sedikit kesukaran melibatkan Myanmar.

Semalam sebuah kumpulan pertubuhan kemanusiaan menggesa kerajaan mengetatkan peraturan bagi pencari kerja bawah umur 40 tahun yang berkunjung ke negara berisiko tinggi seperti Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Terbaharu, Wisma Putra memaklumkan lima lagi rakyat Malaysia diselamatkan dan dibawa pulang selepas terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja menjadikan jumlah mereka diselamatkan dari negara itu setakat ini 143 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.