
Haniff yang sebelum ini bertindak sebagai peguam mewakili Mahathir berkata, Thomas dangkal dalam memahami Perlembagaan Persekutuan memandangkan pengerusi Bersatu ketika itu sudah hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen, pada Februari 2020 dan terpaksa meletakkan jawatan.
“(Langkah Sheraton) mencetuskan kewajipan, bukan keperluan, bukan kewajaran (bagi) seorang perdana menteri meletak jawatan seperti mana dilakukan Mahathir pada 24 Feb iaitu sudah sah kehilangan majoriti beliau sebagai seorang perdana menteri,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook miliknya.
Beliau berkata, Thomas wajib memahami peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan apabila seseorang perdana menteri sudah hilang sokongan majoriti, beliau dikehendaki meletak jawatan.
“Beliau tidak boleh mementingkan isu politik mengatasi Perlembagaan. Beliau wajib mengadap Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) untuk meletakkan jawatan yang mana dilakukan Tun selepas ahli Bersatu dan yang lain telah keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya sambil menuntut Thomas membuat permohonan maaf atas kenyataannya.
Haniff juga mendakwa Thomas sebagai berpaut kepada fahaman “rasis” ketika menjadi peguam negara dan ia “tersulam seli” dalam bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness.”
“Kita boleh tengok bagaimana beliau mengharapkan dan berpandukan kepada pendapat ‘peguam swasta’ yang bukan Melayu, dan beliau mengetepikan peguam-peguam kanan di Pejabat Peguam Negara.
“Saya serahkan kepada Tommy Thomas untuk menyatakan yang sebenar dan meminta maaf tentang fahaman beliau kononnya fahaman kolot beliau mana-mana sistem urus tadbir berpusat konsep Melayu mahupun Islam adalah gagal”.
Dalam forum pada Sabtu, Thomas menggesa pembangkang mewujudkan persoalan kepada pengundi sama ada mempunyai “kerajaan Melayu” akan menjadikan negara lebih baik dan cekap.
Beliau mendakwa, punca Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana beranggapan kerajaan diterajuinya tidak “cukup Melayu”.
Dua setengah tahun kemudian, Kabinet didominasi orang Melayu dengan bukan Melayu diketepikan, katanya seperti dilaporkan.
Thomas mengundang kritikan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Profesor Negara (MPN). Badan itu mendakwa bekas peguam negara mengeluarkan kenyataan rasis yang boleh memporak-perandakan kesepaduan antara kaum.