88 babi dijangkiti ASF dilupus di Perak

88 babi dijangkiti ASF dilupus di Perak

Tindakan pelupusan itu dibuat mengikut piawaian pelupusan yang ketat dan terkawal sebagai satu tindakan memperketatkan biosekuriti ladang.

Wabak ASF adalah terkawal dan jangkitan disahkan hanya berlaku di daerah Kerian, kata Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria. (Gambar Reuters)
IPOH:
Sebanyak 88 ekor khinzir yang dijangkiti demam African swine fever (ASF) di ladang ternakan komersial di Kerian, dekat sini, telah dilupuskan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria berkata tindakan pelupusan itu dibuat mengikut piawaian pelupusan yang ketat dan terkawal sebagai satu tindakan memperketatkan biosekuriti ladang.

“Tindakan pelupusan segera ke atas baki populasi khinzir di ladang dijangkiti ASF selesai pada hari ini merangkumi 88 ekor. Wabak berkenaan adalah terkawal dan jangkitan disahkan hanya berlaku di daerah Kerian. Kadar pengeluaran tidak mengalami impak yang besar disebabkan proses pelupusan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan tidak panik memandangkan penyakit ASF tidak berjangkit pada manusia malah buat masa ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah melaksanakan beberapa tindakan berbentuk kawalan dan pencegahan rebakan penyakit ASF selain tindakan sita ke atas ladang dijangkiti daripada sebarang pergerakan keluar masuk khinzir dan kenderaan.

Jelasnya, pelupusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kadar pengeluaran haiwan berkenaan.

Dilapor sebelum ini JPV telah mengesan jangkitan ASF di dua ladang babi komersial di daerah Kerian, melalui ujian tindak balas rantaian polimer (PCR) yang dijalankan Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh pada Sabtu dan Ahad lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.