4 daripada 5 keluarga cenderung kekal di rumah mampu milik seumur hidup

4 daripada 5 keluarga cenderung kekal di rumah mampu milik seumur hidup

Kajian mendapati mereka tidak dapat meninggalkan perumahan sebegini kerana mungkin mengalami kekurangan pilihan atau tidak mempunyai kemampuan kewangan.

Permintaan untuk perumahan mampu milik yang dibina pada 1970an hingga 1980an – di lokasi yang kini dianggap sebagai strategik – kekal memberangsangkan, kata Joe Thor daripada PropertyGuru DataSense.
PETALING JAYA:
Empat daripada setiap lima keluarga yang tinggal di perumahan mampu milik cenderung untuk kekal dalam perumahan sama seumur hidup, dengan selebihnya menceburi pasaran perumahan swasta, menurut kajian sebuah syarikat teknologi pangkalan data hartanah.

Kajian PropertyGuru DataSense meneliti kira-kira 7,900 projek perumahan mampu milik di Kuala Lumpur dan Selangor dan menganalisis kira-kira 139,500 transaksi jualan sejak 1970an, membabitkan rumah berharga antara RM25,000 hingga RM350,000.

Dalam kenyataan, PropertyGuru DataSense berkata, ia percaya mereka yang tidak dapat meninggalkan perumahan sebegini, termasuk flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), “mungkin mengalami kekurangan pilihan atau tidak mempunyai kemampuan kewangan”.

“Mereka yang tidak mempunyai keinginan untuk keluar mungkin disebabkan rumah mereka sekarang terletak di lokasi strategik (berdekatan dengan kemudahan kenderaan awam, sekolah dan kawasan pekerjaan dan lain-lain lagi),” kata Pengurus Besar PropertyGuru DataSense Joe Thor.

“Projek rumah mampu milik secara ideal merupakan batu loncatan dalam pemilikan hartanah individu. Namun, kami mendapati purata tempoh pemilikan dari pembelian pertama hingga mereka keluar dari rumah ini ialah tujuh tahun.

“Amat dikesali bahawa ini bukanlah apa yang terjadi kepada empat daripada lima keluarga pemilik projek rumah mampu milik,” katanya.

Thor berkata, implikasi utama kajian itu ialah kerajaan perlu terus membina atau memberikan subsidi bagi rumah mampu milik.

“Kekurangan mobiliti dalam perumahan ini mempunyai implikasi kepada perancang dan badan berkuasa apabila mereka ingin memastikan terdapat rumah mampu milik yang sesuai di kawasan bandar, di mana tanah semakin berkurangan dan semakin mahal ditambah lagi dengan kos pembinaan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, sebab utama penghuni berpindah dari rumah mampu milik ialah keperluan mereka yang meningkat bagi ruang dan privasi apabila mereka mula berkeluarga.

Keluarga sebegini lazimnya akan berpindah ke rumah teres bertanah di luar daerah kerana harganya lebih murah.

“Jika seorang penghuni rumah mampu milik ingin menaik taraf hidup di KL, pilihan beliau sangat terhad,” katanya.

“Maka beliau terpaksa berpindah lebih jauh ke daerah seterusnya, lebih-lebih lagi jika rumah idamannya adalah rumah teres.

“Inilah sebabnya rumah kluster mampu milik di Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan harga kaki persegi sehingga 537%. Ini bukanlah kerana ia pilihan ideal, tetapi akibat pilihan yang terhad di lokasi ini.”

Beliau berkata, permintaan untuk perumahan mampu milik yang dibina pada 1970an hingga 1980an – di lokasi yang kini dianggap sebagai strategik – kekal memberangsangkan, “lebih-lebih lagi apabila lokasi tersebut pesat membangun dengan tumbuhnya pusat perniagaan, peluasan jaringan kenderaan awam dan kemudahan-kemudahan lain”.

Mengenai perumahan swasta yang tidak terjual, beliau berkata, “kerjasama awam dan swasta” diperlukan, dengan kerajaan memberi bantuan kepada golongan B40 untuk menyewa perumahan swasta.

“Sebuah skim Sewa-Untuk-Milik mungkin berkesan dalam situasi ini dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah stok perumahan yang berlebihan dan menjadikan pasaran hartanah perumahan lebih efisien,” katanya.

“Model bina-untuk-sewa mungkin boleh diambil kira dengan pihak berkuasa membiayai sebahagian dari harga sewa atau menyumbang kepada sebuah dana
yang kemudiannya digunakan untuk pelaburan dan dalam jangka masa tertentu untuk duit pendahuluan sebuah unit hartanah yang diingini apabila mereka telah bersedia untuk naik taraf.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.